Selasa, 4 Jun 2013

Sevilla terima tawaran Man. City untuk Navas


Jesus Navas 
 
MADRID - Kelab Sepanyol, Sevilla mengumumkan bahawa mereka telah menerima tawaran daripada Manchester City bagi mendapatkan pemain antarabangsa Sepanyol, Jesus Navas semalam.
"Jesus Navas akan meninggalkan Sevilla untuk menyertai Manchester City. 

"Semalam, Sevilla menerima tawaran daripada City bagaimanapun pemain tersebut perlu melepasi pemeriksaan perubatan terlebih dahulu.

"Navas telah berada dalam skuad utama selama 10 musim dan prestasi baik yang dimiliki pemain itu meletakkan dia sebagai pemain sayap terbaik dalam sejarah kelab ini.

"Dia mahu mengembangkan kariernya ke liga bola sepak Inggeris, khususnya di sebuah kelab di mana dia boleh terus maju sebagai pemain dan dia pernah menyuarakan hasrat tersebut sebelum ini," kata kelab tersebut dalam kenyataan melalui laman web semalam. 

Pemain berusia 27 tahun itu, yang memiliki 23 cap antarabangsa, membuat 393 penampilan dalam tempoh 10 tahun dengan skuad Los Nervioneses.

Navas menikmati kejayaan besar pada awal kariernya dengan Sevilla setelah menjadi sebahagian daripada pemain skuad yang memenangi Piala UEFA pada 2006 dan 2007, begitu juga Piala Raja Sepanyol dalam tahun 2007 serta 2010.

Bagaimanapun, peluangnya untuk berpindah dari kelab Sepanyol itu pada awal kariernya terhalang disebabkan sikapnya sendiri yang mudah rindukan kampung halaman. Dia juga sering berasa bimbang setiap kali keluar negara untuk tempoh yang lama.

Masalah tersebut turut menyebabkan hasratnya mengembangkan karier ke peringkat antarabangsa tertangguh sehinggalah dia menerima panggilan daripada bos Sepanyol, Vicente del Bosque pada November 2009.

Impak yang diberikan kepada pasukan kebangsaan telah menarik minat Del Bosque membawanya ke Afrika Selatan pada Piala Dunia 2010.

Navas turut menyumbang kepada jaringan Andres Iniesta pada perlawanan akhir Piala Dunia, yang menjulang Sepanyol sebagai juara dunia buat kali pertama.

Pemain tersebut juga merupakan sebahagian daripada pemain pasukan Sepanyol yang mempertahankan kejayaan mereka pada Euro tahun lalu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan