Selasa, 4 Jun 2013

Silap besar tak ambil Bale - Wenger


Gareth Bale kini dianggarkan bernilai RM379.5 juta dan menjadi buruan Real Madrid, Barcelona, PSG, Manchester United dan Manchester City. - AFP 
 
LONDON - Arsene Wenger akhirnya mengakui bahawa dia membuat kesilapan besar kerana tidak mendapatkan khidmat Gareth Bale.

Bos Arsenal itu menolak peluang untuk mendapatkan pemain Wales itu yang akhirnya menyertai Tottenham dari Southampton pada 2007.

Spurs menyambar Bales dengan bayaran 5 juta pound (RM23.7 juta) dan mengubah pemain pertahanan kiri itu kepada pemain tengah berkelas dunia yang kini dianggarkan bernilai 80 juta pound (RM379.5 juta).

Wenger mengakui dengan berkata: "Kami tidak mahukan Bale kerana ketika ini kami sudah memiliki Ashley Cole dan Gael Clichy, jadi kami tidak memerlukan lagi pemain pertahanan kiri.
"Saya harus akui bahawa ia adalah satu kesilapan besar kerana dia boleh beraksi pada bahagian tengah.

"Dia sukar ketika mula-mula menyertai Tottenham dan kemudian dipindahkan ke bahagian tengah, dia melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Karier sesetengah pemain bergantung pada bahagian yang sesuai untuknya beraksi."
Bale, 23, kini menjadi buruan Real Madrid, Barcelona, Paris Saint-Germain, Inter Milan, Manchester United dan Manchester City.

Pemain Wales itu dianugerahkan Pemain Terbaik selepas meledak 31 gol untuk kelab dan negaranya musim lalu.

Wenger menegaskan, Bale bakal menjadi antara lima pemain terkemuka di dunia.
Tambah Wenger: "Bale memiliki potensi. Kini segala-galanya bergantung kepada konsisten Bale sendiri untuk beraksi pada tahap tertinggi dan juga kecederaan.

"Jika anda lihat Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, mereka mempunyai kesihatan yang baik dan sentiasa beraksi," katanya.

Wenger merekrut Bale dan Theo Walcott ketika mereka remaja namun dia hanya memilih Walcott bersama Arsenal manakala Spurs menandatangani Bale. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan