LONDON – Manchester United mengesahkan bahawa Wayne Rooney tidak
menyertai rakan sepasukannya ke Sweden bagi menghadapi satu perlawanan
persahabatan menentang kelab AIK.
Penyerang itu menjadi sasaran tawaran kedua Chelsea yang dianggarkan
£25 juta (RM124 juta) kelmarin, namun telah ditolak oleh United serta
merta.
Kini, Rooney terpaksa tinggal di England tatkala rakan sepasukannya
yang lain berkunjung ke Sweden semalam, sekali gus menghangatkan lagi
khabar angin yang dia semakin hampir meninggalkan Old Trafford.
Begitupun, United cuba menjernihkan suasana dengan menjelaskan bahawa
penyerang berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan bahu ketika aksi
persahabatan tertutup dengan Real Betis.
Pengurus United, David Moyes berkata: “Wayne cedera di bahunya ketika terjatuh dalam satu perlawanan Sabtu lalu.
“Ia tidak begitu serius dan saya tidak rasa akan merehatkannya terlalu lama.
“Saya agak kecewa melihat dia gagal beraksi dalam beberapa perlawanan
kerana kami amat berharap dia kembali ke dalam pasukan ini dan bersedia
untuk bermain.”
Ini bermakna Rooney akan terlepas aksi terakhir Jelajah Pra-Musim
United setelah gagal menyertai mereka ketika kunjungan ke Asia bulan
lepas.
Antara skuad The Red Devils yang dijangka turun menentang AIK ialah
Anders Lindegaard, Ben Amos, Rafael, Jonny Evans, Nemanj Vidic, Chris
Smalling, phil Jones, Patrice Evra, Nani, Wilfried Zaha, Michael
Carrick, Anderson, Robin van Persie, Ryan Giggs, Angeo Henriquez, Shinji
Kagawa, Danny Welbeck dan Bebe. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan