
TIGA penyokong Barcelona melihat
pengumuman penganjur mengenai perlawanan menerusi sehelai kertas yang
ditampal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
TINDAKAN penganjur menukarkan lokasi perlawanan antara Harimau Malaya
dan Barcelona malam tadi mengundang kemarahan peminat sukan bola sepak
di negara ini.
Keputusan untuk menggunakan Stadium Shah Alam berbanding lokasi asal
iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil hanya dibuat lewat malam
kelmarin, sekali gus mengakibatkan maklumat itu tidak sampai kepada para
peminat.
Tinjauan Kosmo! Ahad di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapati masih
terdapat ratusan penyokong yang berpusu-pusu memasuki pekarangan stadium
secara berperingkat seawal pukul 9 pagi kerana tidak mengetahui perkara
tersebut.
Kekecewaan jelas dilihat pada raut wajah masing-masing sejurus
melihat beberapa keping kertas di pintu masuk stadium yang tertera mesej
memberitahu penukaran venue perlawanan antara pasukan Harimau Malaya
dan Barcelona.
Bukan itu sahaja, wakil penganjur perlawanan itu iaitu BSC Soccer (M)
Sdn. Bhd. juga tidak kelihatan di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk
menerangkan kepada orang ramai tentang perkara tersebut.
Rata-rata peminat berpendapat, perkara itu tidak seharusnya berlaku terutamanya pada hari perlawanan dijadualkan berlangsung.
Ahmad Afendy Mansor, 25, berkata, dia dan rakan-rakannya dari Batang
Kali, Selangor hanya mengetahui perkara tersebut sejurus sampai ke
stadium pada pukul 2 petang.
“Memang benar kita hidup pada zaman teknologi canggih, namun
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur kena juga fikir ada
kalanya tidak semua maklumat akan sampai kepada orang ramai dalam tempoh
yang singkat,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Dzulfitri Mohd. Azmi, 22, pula
berpendapat, pihak penganjur patut mengemukakan permintaan maaf secara
terbuka kepada orang ramai kerana telah menyusahkan mereka ekoran
keputusan tersebut.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Mohd. Azhar Musa, 37, berkata, dia
menanggung kerugian kira-kira RM3,000 ekoran penukaran lokasi perlawanan
tersebut.
Sementara itu, Perbadanan Nasional Malaysia mengesahkan semalam
bahawa kualiti padang Stadium Nasional, Bukit Jalil telah mendapat
pengesahan daripada Jawatankuasa Teknikal Penganjur.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Ahmad Halmi
Harun berkata, padang tersebut telah dibaiki sejak dua bulan lalu
selepas mendapat teguran jawatankuasa tersebut.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut telah menegur keadaan padang yang
pada ketika itu tidak sekata dan tindakan telah diambil bagi meratakan
permukaan padang tersebut.
“Seminggu sebelum perlawanan ini berlangsung, jawatankuasa tersebut juga telah mengesahkan padang itu boleh digunakan.
“Oleh itu, kami agak sedih apabila secara tiba-tiba Barcelona membuat keputusan yang sebaliknya,” katanya.
Jelasnya, sebelum ini, Barcelona ada mengadakan latihan di Stadium
Shah Alam dan mungkin selepas itu mereka membuat perbandingan keadaan
padang di kedua-dua stadium tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan