Selasa, 13 Ogos 2013

Ferdinand dakwa England sudah hilang identiti


LONDON - Bekas pemain pertahanan England, Rio Ferdinand mendakwa, skuad The Three Lions sudah hilang identiti.

Pemain pertahanan veteran Manchester United itu yang mengumumkan persaraan daripada menyertai skuad kebangsaan pada Mei lalu menegaskan, struktur kejurulatihan England perlu mengalami transformasi.

Ferdinand, 34, yang mewakili The Three Lions sebanyak tiga kali pada aksi Piala Dunia turut mengakui, England tidak mempunyai gaya permainan tersendiri seperti pasukan gergasi dunia Sepanyol atau Itali.

"Apa identiti kami sebenarnya? Ketika saya menyuarakan perkara itu menerusi laman Twitter saya, ramai yang memberi maklum balas mengenai apa maksud saya.

"Namun, apa identiti kami sebenarnya? Harapan kami bermula pada era Glenn Hoddle pada 1996-1999 dan ketika itu kami mula membina karakter tersendiri apabila mengamalkan gaya permainan free-flowing football.

"Selepas Glenn (Hoddle) melepaskan jawatannya, kami kembali hilang punca dan tiada gaya permainan tersendiri sehingga kini," kata Ferdinand.

Bagaimanapun, Ferdinand memuji skuad bawah 21 tahun (B-21) England dan dia menganggap bahawa itulah pasukan England yang sebenar.

Katanya, dia menyedari bahawa tiada hubungan baik antara pengurusan pasukan senior dengan pasukan-pasukan bawah 21, bawah 20 dan bawah 17 tahun, sekali gus mengakui perkara itu tidak baik untuk perkembangan bola sepak England.

Kali terakhir England menjulang Piala Dunia adalah pada 1966 dan sehingga hari ini mereka gagal untuk melepasi peringkat separuh akhir dalam mana-mana kejohanan utama dunia.

Sementara itu, Ferdinand turut mengulas mengenai aksi pemanas badan antara England dengan Scotland awal pagi esok dan dia menegaskan bahawa pasukan itu perlu mengorbankan kejayaan dalam masa terdekat bagi mengejar kejayaan jangka masa panjang. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan