Isnin, 30 September 2013

'Kami mampu bangkit di Kuching'


ADA sebab mengapa pengendali Sime Darby, Ismail Zakaria tetap optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya bagi menyambar slot separuh akhir Piala Malaysia.

Biarpun gagal memanfaatkan peluang di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu, beliau enggan mengambil peduli dengan kritikan negatif segelintir pihak yang memandang rendah kemampuan The Giant Killer.

Kehebatan Bujang Senang yang kebal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Premier musim ini selain hanya kecundang dua kali ketika peringkat kumpulan Piala Malaysia, itupun di gelanggang lawan juga tidak mengundang perasaan gerun anak-anak buah Ismail menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sabtu ini.

"Saya tidak peduli dengan cakap-cakap orang biarpun hakikatnya Sarawak memang cukup kebal di Kuching.

"Ini kerana, saya sentiasa mempercayai pemain saya dan optimis mereka mampu memberikan segala-galanya bagi menjamin slot ke separuh akhir.

"Jadi, soal sama ada kami mampu mara lebih jauh kali ini...sama-sama kita tunggu Sabtu ini," katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Mengulas lanjut, Ismail mengakui percaturan beliau kurang menjadi ketika kedua-dua pasukan berentap di Selayang tempoh hari.

Justeru, beliau membayangkan bakal membuat perubahan taktikal bagi memastikan Ngap Sayot berputih mata di depan penyokong sendiri nanti.

"Sudah tentu saya akan membuat perubahan taktikal menjelang perlawanan Sabtu ini selepas setiap peluang gagal diterjemahkan menjadi jaringan pada aksi pertama sebelum ini.

"Namun, saya tidak mahu merombak kesebelasan utama kerana di peringkat seperti ini, saya enggan mengambil risiko yang dikhuatiri mampu menjejaskan persefahaman sepasukan.

"Jika ada perubahan pun mungkin membabitkan satu dua pemain sahaja," jelas beliau.

Jika berjaya melepasi halangan Bujang Senang, Sabtu ini, pemenang antara Pahang dan Selangor PKNS dijangka menanti Sime Darby di peringkat separuh akhir kelak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan