Selasa, 17 September 2013

Arsenal dihantui kebimbangan


MARSEILLE - Arsenal perlu lebih berhati-hati apabila berkunjung ke Stade Velodrome untuk berdepan Marseille pada aksi pembukaan Kumpulan F kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Meskipun berada pada prestasi terbaik, Arsenal dihimpit kebimbangan apabila menyedari mereka perlu beraksi dalam kumpulan sukar bersama-sama Marseille, Napoli dan Borussia Dortmund.

Skuad The Gunners perlu meneruskan aksi cemerlang selepas memenangi kelima-lima perlawanan dalam kesemua pertandingan sejak tewas 1-3 kepada Aston Villa pada aksi sulung Liga Perdana England, 17 Ogos lalu.

Ketika ini, Arsenal menduduki tangga kedua selepas mengumpul sembilan mata, satu mata di belakang Liverpool hasil kemenangan 3-1 ke atas Sunderland, Sabtu lalu.

Kemenangan itu hadir hasil persembahan cemerlang pemain termahal Arsenal, Mesut Ozil yang dibeli dari Real Madrid dan pengurus, Arsene Wenger semakin yakin terhadap keupayaan anak-anak buahnya meskipun mereka masih dibelenggu masalah kecederaan pemain.

Perancang Sepanyol, Santi Cazorla muncul sebagai pemain terbaharu yang tiba di bilik rawatan skuad The Gunners apabila ditimpa kecederaan pergelangan kaki, sekali gus bakal direhatkan beberapa minggu.

Selain itu, Lukas Podolski dan Alex Oxlade-Chamberlain turut menyertai Cazorla apabila kedua-dua bintang Arsenal ditimpa kecederaan, manakala penyerang berbisa, Olivier Giroud dijangka sempat cergas meskipun dia ditimpa kecederaan lutut ketika menentang Sunderland.

Kini, Wenger sangat berharap agar bintang Perancis itu dapat diturunkan kerana beliau mengakui Giroud sukar untuk digantikan oleh mana-mana pemain buat masa ini.

Begitupun, kepulangan Giroud menjadi subjek utama apabila bekas pemain Montpellier itu berazam untuk membantu mempertahankan rekod tanpa kalah Arsenal kepada kelab Perancis.
"Saya mengetahui bahawa Marseille adalah sebuah pasukan yang cukup bagus dan mereka memiliki penyokong-penyokong yang begitu menakjubkan.

"Saya pasti kami akan berjuang kerana Arsenal terdesak untuk melakukan permulaan yang baik selain merakamkan kemenangan pertama di pentas Liga Juara-Juara.

"Meskipun kami ditimpa krisis kecederaan, Arsenal masih memiliki kualiti dan kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan ini," ujarnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan