Selasa, 17 September 2013

Misi peribadi Messi



MESSI (tengah) bersiap sedia untuk menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G menentang Ajax Amsterdam di Stadium Nou Camp awal pagi esok.


LONDON - Penyerang Argentina, Lionel Messi mengakui bahawa kekalahan memalukan Barcelona kepada Bayern Munich pada kempen Liga Juara-Juara musim lalu masih kekal dalam ingatannya.

Messi yang bersiap sedia untuk menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G menentang Ajax Amsterdam di Stadium Nou Camp awal pagi esok menganggap kekalahan dengan agregat 0-7 kepada Bayern pada aksi separuh akhir lalu sebagai satu mimpi ngeri.

Meskipun enggan memberi sebarang alasan di atas kegagalan Barca itu, Messi mengakui sudah bersedia untuk memulihkan semula imej skuad The Catalan yang tercalar di pentas Eropah.
"Kami sentiasa mahu melakar lebih banyak kejayaan.

"Menjuarai gelaran liga adalah sangat penting dan ia paling bermakna kerana kami berjaya merampasnya daripada Real Madrid.

"Namun, kami kecewa dengan kekalahan di separuh akhir (Liga Juara-Juara) kepada Bayern Munich kerana terdapat jurang yang besar antara pasukan kami.

"Itu cerita lama dan kami mahu melupakannya serta memandang ke hadapan. Apa yang berlaku ketika menentang Bayern? Mereka hanya pasukan yang lebih baik dalam aspek fizikal dan teknikal," kata Messi.

Messi menegaskan, Barca tidak akan memandang mudah kepada pasukan lain dalam kumpulan itu selepas diundi bersama dengan Celtic, AC Milan dan Ajax.

Namun, dia yakin jurulatih baharu, Gerardo Martino mampu membawa perubahan yang positif bagi membantu pasukan itu layak ke pusingan kalah mati.

"Ia satu kumpulan yang sukar tetapi kami sedar mengenainya. Sangat sukar untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara, ia mencabar sejak daripada peringkat awal lagi.

"Semua pasukan dalam kumpulan kami adalah kelab yang hebat dan mempunyai sejarah tersendiri. Kami pernah berdepan mereka sebelum ini, jadi kami arif tentang mereka.

"Kami juga berjaya menyesuaikan diri dengan baik di bawah jurulatih baharu. Sudah tentu beliau ada idea yang baharu tetapi mentaliti kami masih sama iaitu beraksi sebaik mungkin untuk memenangi semua trofi yang kami sertai," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan