Isnin, 16 September 2013

Sime Darby ketepi sentimen



KARLO PRIMORAC (depan) menjadi taruhan Sime Darby pada aksi bertemu Johor di Stadium MP Pasir Gudang malam ini.


SIME DARBY semakin merasai bahang bertemu Johor menjelang aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Pasir Gudang malam ini.

Ketika ini, skuad kendalian Ismail Zakaria berkongsi tujuh mata dengan naib juara musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peluang Johor mengintai peluang ke suku akhir juga masih cerah apabila mengutip lima mata, selain pernah mengecewakan Sime Darby dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium MP Selayang pada 24 Ogos lalu.

Ketika itu, aksi kedua-dua pasukan juga dicemari insiden tidak diingini apabila pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan diserang penyokong pelawat sebaik perlawanan tamat.

Justeru, Ismail enggan anak-anak buahnya dibuai sentimen luar padang serta kekal fokus memburu tiga mata berharga.

"Saya harap pemain telah melupakan kekecewaan ketika ditewaskan Johor tempoh hari.

"Inilah masa terbaik untuk kami memperbaiki pencapaian yang sekadar terkandas di peringkat kumpulan musim lalu, jadi kami perlu memberikan segala-galanya di atas padang," kata Ismail kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, Ismail juga berharap skuad kendaliannya mampu muncul juara kumpulan supaya memiliki kelebihan di peringkat suku akhir kelak.

"Momentum pemain juga dipuji meskipun berehat panjang selepas aksi Piala Malaysia direhatkan seketika.

"Ia dapat dilihat selepas kami berjaya mengatasi Pahang 3-0 dalam satu aksi persahabatan baru-baru ini," katanya.

Selepas berdepan Johor, skuad The Giant Killer bakal membuat perhitungan dengan ATM dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium MP Selayang, Sabtu ini.

Ketika aksi pertama kumpulan 20 Ogos lalu, Sime Darby berjaya mengecewakan ATM dengan kemenangan bergaya 4-3.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan