Kuala Terengganu: Teka-teki siapa yang bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menggantikan Datuk Che Mat Jusoh akhirnya terjawab apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid diumum sebagai presiden, semalam.

Pengisytiharan Wan Ahmad Nizam sebagai Presiden PBSNT dibuat selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Luar Biasa Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif PBSNT 2013 di Wisma Seri Amar, di sini.
Pelantikan itu menjadi lembaran baru kepada PBSNT selepas Che Mat yang menerajuinya selama 15 tahun membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan itu.


Lapan eksekutif

Jawatan Timbalan Presiden turut berubah apabila Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mazlan Ngah dan Marzuki Sulong menang tanpa bertanding pada pemilihan itu sementara Saidi Salleh@Sulong, Ab Rasid Jusoh, Abdullah Sulong, Tuan Kechil Tuan Tengah pula menang tanpa bertanding bagi jawatan naib presiden.

Lapan ahli eksekutif PBSNT yang dipilih pada kongres itu ialah Ali Embong, Haslan Hashim, Zaki Ismail, Mohd Rashdi Hamat, Abdullah Hamat, Mohd Sekanther Abd Hamid, Wan Mohd Azlizan Abu Bakar dan Wan Zaulkfli Wan Gati.

Sementara itu, Che Mat berkata beliau berharap kepimpinan baru diketuai Wan Ahmad Nizam dapat menempatkan pengurusan PBSNT dan pasukan Terengganu dalam kedudukan lebih baik selepas ini terutama menjelang 2015.