Jumaat, 6 September 2013

Tiba masa untuk tunjuk belang



KIM SWEE (kanan) memerhatikan pemain-pemain Harimau Muda menjalani latihan bagi menghadapi Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.


PENGENDALI skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee menegaskan, kini sudah tiba masa buat anak-anak buahnya menterjemah ilmu yang dipelajari sepanjang lebih tiga bulan ‘berguru’ di Eropah.
Menurut Kim Swee, misi pertama buat skuad Harimau Muda bermula petang ini apabila menentang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Singapura dalam aksi pertama kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Kata Kim Swee, bagaimanapun beliau terlebih dahulu terpaksa membuat keputusan sukar apabila perlu menggugurkan tiga pemain daripada senarai awal 25 pemain bagi melengkapkan kuota 22 pemain untuk didaftarkan pada kejohanan edisi ke-41 ini.

“Saya terpaksa menggugurkan tiga pemain iaitu Muhd. Ramadan Abd. Rahman, Mohd. Riduan Abdunloh Pula dan Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris bagi melengkapkan senarai 22 pemain.

“Saya menganggap perlawanan dengan Singapura sebagai pertemuan menarik dan agak sukar buat kita. Singapura yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain skuad Lions XII yang muncul juara Liga Super baru-baru ini.

“Mereka mempunyai kelebihan kerana telah bergabung sejak awal tahun serta bermain dalam satu pasukan dalam saingan Liga Malaysia,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Kuantan semalam.

Selain itu, Kim Swee juga menuntut semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain Harimau Muda dalam aksi pertama tersebut serta tidak terikut-ikut rentak pemain lawan.

Ujarnya, berdasarkan pengalaman mengendalikan skuad B-23 negara itu, mereka cenderung untuk mengikut rentak lawan yang akhirnya memakan diri.

“Jika bertemu pasukan handal, mereka akan bermain baik manakala jika bertemu pasukan lemah, mereka akan turut mengikut rentak lawan itu.

“Saya harap mereka akan berubah kali ini dan bermain mengikut perancangan yang telah saya lakukan. Saya sedar Singapura akan menurunkan barisan terbaiknya dan saya anggap penyerang Singapura, Hariss Harun sebagai pemain yang perlu dirantai,” katanya.

Kim Swee berkata, beliau percaya dengan barisan yang dimilikinya kali ini ditambah dengan kehadiran beberapa tonggak pasukan negeri seperti Nik Shahrul Azim Ab. Halim (Kelantan), Mohd. Nazmi Faiz Mansor (PKNS), Putera Nadher (Sarawak) dan Zubir Azmi (Terengganu).

Menurutnya, kejohanan Pestabola Merdeka kali ini juga merupakan pentas terbaik untuk persediaan skuad negara dalam misi mengekalkan pingat emas dalam Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Perlawanan antara Malaysia dengan Singapura akan berlangsung pada pukul 5.30 petang ini manakala Thailand bakal berentap dengan Myanmar pada pukul 8.45 malam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan