Isnin, 16 September 2013

Ujian sulung Guardiola



GUARDIOLA (tengah) bakal berdepan ujian sulung di pentas Eropah pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi esok.


MUNICH - Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola bakal berdepan ujian sulung di pentas Eropah apabila melayan kunjungan CSKA Moscow pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi esok.

Skuad The Bavarians berjaya melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas Hanover 96 untuk kekal di tempat kedua Liga Jerman kelmarin.

Bayern memerlukan jaringan pada separuh masa kedua daripada penyerang Croatia, Mario Mandzukic dan pemain sayap Perancis, Franck Ribery untuk menewaskan Hanover, sekali gus melakar kemenangan keempat daripada lima perlawanan pertama musim ini.

Bagaimanapun, selepas melakar sejarah menjadi pasukan pertama daripada Jerman yang memenangi gelaran trebel iaitu Liga Juara-Juara, Piala Jerman dan Liga Jerman di bawah bimbingan Jupp Heynckes musim lalu, Bayern gagal untuk mendominasi saingan di bawah kendalian Guardiola musim ini.

Situasi itu nyata tidak memuaskan hati Pengarah Sukan Bayern, Matthias Sammer.
"Kami perlu keluar daripada zon selesa dengan kadar segera.

"Apa yang saya perhatikan, pasukan kami seolah-olah tidak beraksi seperti biasa seperti mana yang dilakukan musim lalu," kata Sammer.

Ketika ini, Guardiola lebih gemar menggunakan formasi 4-1-4-1 berbanding ketika Bayern dikendalikan Jupp Heynckes.

Situasi itu menyebabkan mereka sering kehilangan penguasaan bola di bahagian tengah sehingga mengundang kritikan Sammer.

"Sejujurnya, saya tidak suka dengan perubahan ini," katanya.

Guardiola dijangka kembali menagih khidmat Bastian Schweinsteiger yang baru pulih daripada kecederaan pergelangan kaki untuk menghadapi CSKA ekoran kecederaan yang dialami dua tonggak utama, Mario Goetze dan Thiago Alcantara. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan