Pertahanan Elche berasa mereka seperti kena rompak

Madrid: Cristiano Ronaldo menyumbat dua gol pada babak kedua untuk membantu Real Madrid mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Elche pada aksi Liga Sepanyol di gelanggang lawan, awal pagi semalam.

Gol pendahuluan Real hadir pada minit ke-50 menerusi sepakan percuma Ronaldo sebelum penyerang pinjaman dari Juventus, Richmond Boakye menyamakan kedudukan buat Elche pada minit pertama masa kecederaan.
Namun seminit kemudian Real dianugerahkan sepakan penalti kontroversi yang diberi pengadil selepas Pepe dikasari pemain Elche, Carlos Sanchez di dalam kotak penalti sewaktu sepakan percuma.



Sepakan penalti

Ronaldo yang mengambil sepakan penalti itu mudah menyempurnakannya untuk gol kemenangan Real.

“Kami perlu realistik tetapi dua gol mereka itu daripada dua tindakan yang pada pandangan saya sepatutnya tidak menghukum kami. Seharusnya kami harus mendapat seri dengan pasukan cukup hebat ini, saya berasakan kami seperti dirompak,” kata pemain pertahanan Elche, Eduardo Albacar.
Sementara itu, jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata: “Sukar untuk komen kerana kedudukan saya di bangku simpanan tidak begitu baik. Tapi saya bertanya kepada Pepe, katanya itu memang penalti.” - AP