Isnin, 30 September 2013

Suarez, Sturridge mampu gegar England


SUAREZ (kanan) dan Sturridge menampilkan aksi yang mantap ketika digandingkan bersama buat pertama kalinya di Stadium of Light kelmarin.


SUNDERLAND - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menegaskan bahawa skuad The Reds kini memiliki 'penyerang kembar' terbaik iaitu Luis Suarez dan Daniel Sturridge.

Rodgers, 40, menyuarakan keyakinan itu selepas pasangan tersebut digabungkan buat pertama kalinya musim ini ketika menewaskan 3-1 Sunderland pada aksi Liga Perdana England di Stadium of Light kelmarin.

Suarez meledakkan dua gol selepas kembali daripada penggantungan 10 perlawanan, manakala Sturridge yang menghasilkan gol pembukaan turut menjadi watak penting yang membantu penyerang Uruguay itu.

Kemenangan itu kembali meletakkan skuad The Reds di tangga kedua liga dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Arsenal.

"Saya tidak pasti sama ada mereka merupakan gandingan terbaik ketika ini dalam saingan Liga Perdana.

"Sudah tentu Manchester United memiliki Robin van Persie dan Wayne Rooney tetapi saya optimis Suarez dan Sturridge adalah gandingan yang terbaik di England.

"Kedua-dua pemain ini akan menjadi lebih baik jika digandingkan lebih kerap. Mereka sangat bekerja keras semasa sesi latihan dan itu yang membezakan mereka dengan pemain-pemain lain.

"Salah seorang daripada mereka memiliki naluri penjaring gol sebenar, bertenaga dan boleh menggunakan kedua-dua belah kaki, manakala seorang lagi mampu menembusi benteng pertahanan lawan.

"Suarez juga sangat berani untuk mencuba dan dia memiliki mental yang sangat kuat walaupun dibelenggu pelbagai dugaan serta masalah sebelum ini," kata Rodgers.

Pengurus kelahiran Ireland Utara berkata, perkembangan terkini kedua-dua pemain itu sangat menggembirakan dirinya dan para peminat kelab itu.

"Kualiti yang ada dalam diri mereka mampu memberikan banyak manfaat kepada skuad The Reds," katanya.

Dalam pada itu, Sturridge telah menjaringkan 11 gol sepanjang 11 penampilan dengan Liverpool musim ini, manakala Suarez pula telah menjaringkan tujuh gol dalam enam pertemuan menentang Sunderland. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan