Khamis, 26 September 2013

PKNS cari bekalan selesa



PEMAIN-PEMAIN PKNS menampilkan aksi yang cukup bertenaga sepanjang aksi peringkat kumpulan pada kempen Piala Malaysia 2013.


“KAMI (Selangor PKNS) main nak menang dan bukan nak kalah, Tiada pasukan suka kalah.”
Itulah amaran jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim mengenai perjuangan skuad kendaliannya pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2013 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

PKNS melangkah ke peringkat suku akhir dengan penuh bergaya apabila muncul juara Kumpulan B selepas mengutip 15 mata sepanjang enam perlawanan.

Rahman yakin pasukan berstatus kelab itu kini semakin ghairah untuk meneruskan persembahan cemerlang dengan harapan untuk membenamkan cabaran skuad Tok Gajah di gelanggang lawan.
“Kami tahu Pahang memiliki ramai pemain ternama berbanding kami.

“Bagi saya, beraksi di tempat lawan atau di laman sendiri adalah perkara biasa. Kami akan cuba mencari jalan untuk melakar kemenangan di sana.

“Saya lihat PKNS semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sasaran untuk melangkah ke suku akhir sudah dicapai, maka PKNS kini berazam untuk mara ke separuh akhir pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pengendali kelahiran Terengganu itu berkata, beliau tetap menghormati keupayaan skuad kendalian Dollah Salleh, namun menuntut barisan pemainnya agar tidak terlalu memandang rendah dengan skuad Tok Gajah.

“Seperti yang saya katakan tadi, semua pasukan akan berjuang habis-habisan untuk memburu jaringan selesa sebagai bekalan untuk dibawa ke suku akhir kedua nanti.

“Pahang adalah salah sebuah pasukan yang hebat di kempen Liga Super dan saya cukup menghormati mereka. Kami akan berusaha mencari jalan untuk menang dan selebihnya, ia bergantung kepada pemain-pemain sendiri.

“Yakin itu baik tetapi ia perlu berpada-pada. Saya tidak mahu anak-anak buah saya terlalu menghormati atau terlalu memandang rendah kepada Pahang.

“Ini kerana, sikap ini akan mengundang padah jika kami mengamalkan sikap sedemikian,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan