Ahad, 1 September 2013

Yob kecewa 'dirompak' pengadil


IMBAS KEMBALI... Azraai (tengah) terpaksa mententeramkan pemainnya yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil ketika aksi Liga Super menentang Lions XII di Ipoh Jun lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) akan membuat aduan serta bantahan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.

Ia ekoran kontroversi jaringan penyerang import Perak, Paulo Rangel yang tidak disahkan oleh pengadil, Nafeez Wahab ketika aksi keempat Kumpulan D Piala Malaysia menentang Lions XII malam kelmarin.

Pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura itu, Perak tewas 1-2 biarpun berpeluang mencuri satu mata hasil ‘jaringan’ Rangel tersebut pada minit ke-79.

Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah menegaskan, beliau sangat kecewa dengan keputusan Nafeez serta pembantu pengadil yang didakwa telah meragut semangat juang anak-anak buahnya.
“Saya sangat kecewa dengan keputusan itu, seolah-olah peluang kami untuk sekurang-kurangnya memungut satu mata telah ‘dirompak’.

“Semalam (kelmarin) saya telah berbincang dengan pihak pengurusan Pafa dan mereka bersetuju untuk membuat bantahan rasmi kepada FAM dalam tempoh terdekat.

“Walaupun dengan bantahan itu dilihat tidak dapat merubah keputusan perlawanan, namun ia adalah demi kebaikan semua pasukan dalam Liga Malaysia pada masa akan datang,” kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum jaringan Rangel itu dibatalkan, kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila Lions XII mendahului menerusi ledakan Harris Harun pada minit ke-60.

Berselang lima minit kemudian, pertahanan Perak, Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa berjaya menyamakan kedudukan buat skuad Kejor Yob Kejor menerusi sepakan percuma yang cukup menarik.

Memasuki minit ke-79, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha melakukan hantaran lintang sebelum Rangel berjaya merobek gawang Lions XII yang dikemudi Izwan Mahbud menerusi tandukan kencang.

Berdasarkan rakaman televisyen, bola jelas dilihat telah melepasi garisan gol sebelum Izwan berjaya menguis bola keluar daripada garisan gol.

Menurut Azraai, beliau lebih kecewa dan tidak berpuas hati kerana kejadian itu bukanlah insiden pertama yang terjadi kepada Perak ketika menentang Lions XII.

Jelasnya, dalam aksi terakhir Liga Super pada 25 Jun di Stadium Perak, Ipoh, pembantu pengadil, Hanif Rahman telah membiarkan perlawanan diteruskan walaupun jelas bola telah terkena tangan salah seorang pemain Lions XII.

“Akhirnya pemain itu sendiri berjaya menghasilkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan bagi mengikat keputusan seri 1-1.

“Dalam aksi semalam (kelmarin), pembantu pengadil yang sama yang mengakibatkan kekecohan di Ipoh Jun lalu dan beliau sekali lagi telah menghukum kami.

“Saya mahu tahu kenapa pembantu pengadil yang sama diberi peranan dalam aksi semalam (kelmarin) walaupun beliau telah melakukan kesilapan besar sebelum ini.

“Saya tidak mahu ulas panjang dalam isu ini, biarlah pihak pengurusan Pafa menemui pihak FAM untuk menyelesaikan masalah ini daripada terus berulang lagi,” kata Azraai.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan