Ada banyak lagi saya belum tunjuk: Ramsey  
 Ramsey (kiri) merai jaringan ketika menentang Belgium saingan kelayakan Piala Dunia, kelmarin.
 
London: Aaron Ramsey menegaskan masih banyak lagi yang belum dipamerkannya di sebalik prestasi hebat meledak 10 gol pada permulaan musim 2013-2014 bersama Arsenal.

Pemain tengah Wales itu jelas menjadi kunci kejayaan The Gunners menduduki puncak singgahsana Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dan prestasi hebat itu bukan saja bersama Arsenal tetapi kelmarin dia menjaringkan gol penyamaan lewat bagi membantu Wales seri 1-1 menentang Belgium dan pemain terbaik bulanan EPL itu menegaskan dia mampu meningkatkan lagi prestasinya.


“Saya fikir saya mampu memperagakan aksi lebih baik lagi pada masa akan datang. Saya baru berusia 22 tahun dan masih mempunyai ruang untuk melakukan yang lebih baik dan mempelajari sesuatu yang baru. Tetapi bos (Arsene Wenger) memberitahu saya betapa saya perlu belajar cara bertahan.

Dibuai dengan pujian

“Sudah pasti ia akan lebih baik dan saya tidak sabar untuk melaluinya. Apabila kamu tidak mendapat bola ketika pasukan bertahan kerana ada kalanya saya tidak berada di tempat yang sepatutnya.

“Saya perlu bermain dengan lebih baik dengan terbabit dalam semua pergerakan pasukan. Saya akan teruskan rentak baik yang saya lakukan sekarang.” - Agensi