Sneijder nafi pindah ke Chelsea  
Sneijder pernah bersama Mourinho ketika di Inter Milan.
 
Istanbul: Pemain tengah Galatasaray, Wesley Sneijder menafikan khabar angin dia akan meninggalkan kelab itu untuk beraksi di bawah bimbingan bekas bosnya, Jose Mourinho di Chelsea.

Jurulatih Belanda, Louis van Gaal minggu lalu mengakui Sneijder perlu menyertai kelab terbaik dunia untuk mengesahkan kedudukannya di Piala Dunia tahun depan dan kembali bergandingan bersama Mourinho adalah senario paling sempurna, tatkala Chelsea terdesak untuk mendapatkan perancang itu pada perpindahan Januari depan.
Tak fikir berpindah


Sneijder dan Mourinho pernah bekerjasama di Inter Milan untuk menjulang tiga kejuaraan termasuk Liga Juara-Juara Eropah namun pemain berusia 29 tahun itu menegaskan dia gembira bersama kelab Turki itu dan mahu kekal.

“Semua tempat Jose Mourinho pergi mereka akan mencipta khabar angin mengenai saya akan mengikutinya,” kata Sneijder. “Kelab apa pun yang saya akan beraksi saya akan beri komitmen 100 peratus dan saya menggemari kelab ini dan saya tidak pernah berfikir untuk berpindah.”

Galatasaray akan menanti kunjungan FC Copenhagen dalam Liga Juara-Juara Kumpulan B, awal pagi ini dalam kumpulan yang turut diisi dua gergasi Eropah, Real Madrid dan Juventus. - Agensi