Khamis, 3 Oktober 2013

ATM waspada 'bola mati' Lions


JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan mengingatkan anak-anak buahnya berhati-hati dengan setiap set piece yang diperoleh Lions XII dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini
.
Menurut Sathianathan, set piece merupakan senjata utama Lions XII selain keampuhan benteng pertahanan juara Liga Super itu yang dianggap faktor penyumbang kejayaan mereka sebelum ini.

Pada masa sama, Sathianathan menuntut The Gladiators tampil dengan corak menyerang jika mahu mengubah skrip keputusan aksi suku akhir pertama yang menyaksikan Lions XII meraih kemenangan tipis 1-0.

“Seperti semua sedia maklum, Lions XII sangat bahaya jika mendapat peluang menerusi set piece, sama ada sepakan percuma atau sepakan penjuru

“Itu kelebihan mereka, situasi ‘bola mati’ menjadi kekuatan Lions XII untuk menghasilkan gol dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini.

“Saya juga melihat Lions XII sangat kental ketika bertahan. Barisan pertahanan mereka amat berdisiplin dan jika mendahului lawan, mereka pasti akan bertahan dengan baik.

“Jadi, saya sentiasa mengingatkan para pemain agar bermain bersungguh-sungguh sepanjang perlawanan berlangsung,” kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu, beliau gembira apabila kesemua pemainnya cergas serta bebas daripada penggantungan perlawanan.

Sathianathan sudah pasti menagih bisa penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Marlon Alex James sambil dibantu oleh kepakaran kapten, Hairuddin Omar.

‘Arkitek’ ATM, Bruno Martelotto yang kurang cergas minggu lalu juga diharap sudah kembali kepada prestasi sebenar dalam misi merencana bahagian tengah The Gladiators.

Menyedari peluang ATM mara ke saingan separuh akhir masih ada, Sathianathan optimis anak-anak buahnya mampu ‘melangsaikan’ misi mereka malam ini.

“Saya yakin kami mampu mengatasi keputusan 1-0 itu dan kami akan turun dengan aksi menyerang habis-habisan.

“Saya sedar, Lions XII juga tidak akan duduk diam dan selesa dengan kelebihan satu gol itu dan saya jangka mereka juga akan bermain dengan corak serangan.

“Jadi mana-mana pasukan yang tidak melakukan kesilapan pasti akan menang,” kata Sathianathan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan