Isnin, 21 Oktober 2013

Lonjak kembali semangat ATM



NORFAZLY (kiri) mengekang kemaraan penyerang Kelantan, Dickson Nwakaeme pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Selayang minggu lalu.


PENGENDALI Angkatan Tentera Malaysia, B. Sathianathan kini berusaha keras mengembalikan keyakinan barisan The Gladiators menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Jumaat ini.

Menurut Sathianathan, beliau sedar anak-anak buahnya bakal menghadapi laluan berliku di gelanggang keramat Kelantan itu nanti selain perlu memadam defisit kelebihan yang dimiliki The Red Warriors selepas menang 2-1 di Selayang minggu lalu.

"Saya harus akui betapa motivasi anak- anak buah saya berada dalam keadaan menurun ketika ini dan tugas utama saya beberapa hari sebelum sepak mula separuh akhir kedua nanti adalah untuk mengembalikan keyakinan dalam diri mereka.

"Saya juga perlu menetapkan dalam minda mereka bahawa kami boleh menang di Kota Bharu nanti.
"Saya juga mahu mereka melupakan kekalahan di Selayang, Jumaat lalu dan saya akan mengambil kesempatan dalam sesi latihan beberapa hari ini untuk memperkemas benteng pertahanan, jentera tengah dan serangan.

"Ketiga-tiga posisi itu dilihat tidak berfungsi dengan baik minggu lalu," kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, beliau mampu menarik nafas lega apabila tonggak pertahanan kiri, Irwan Fadli Idrus tidak mengalami kecederaan serius dan mampu bermain dalam perlawanan separuh akhir kedua nanti.

Bagaimanapun, beliau mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan tengah, Norfazly Alias yang mengalami kecederaan agak serius.

"Saya akan merombak benteng pertahanan tengah sekali lagi kerana ketiadaan Norfazly (Alias) dan saya akan memikirkan pemain yang sesuai untuk bergandingan dengan Shukor Adan.

"Saya juga berharap para pemain mampu mencari gol awal ketika beraksi di Kota Bharu nanti.
"Pada masa sama, kami tidak perlu terlalu tertekan untuk memburu gol tetapi bermain seperti biasa dengan mengamalkan corak serangan.

"Secara peribadi, saya yakin peluang kami masih belum tertutup dan jika para pemain mengikut perancangan yang akan saya lakukan, kami mampu menang di sana," ujar Sathianathan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan