Rabu, 2 Oktober 2013

Moyes enggan letak harapan terlalu tinggi



PEMAIN-PEMAIN United menjalani latihan bagi menghadapi aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk awal pagi esok.


LONDON - Pengendali Manchester United, David Moyes tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi pada aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk awal pagi esok.
Moyes berkata, perlawanan di Donbass Arena itu merupakan masa yang sesuai untuk bangkit daripada prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana England musim ini.

United mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan liga domestik dan dijangka berdepan cabaran sengit pada aksi menentang Donetsk.

Moyes yang dihimpit tekanan selepas kekalahan mengejutkan 1-2 kepada West Bromwich Albion di Old Trafford, Sabtu lalu mengakui bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya lima pemain berkelas dunia jika mahu menjulang trofi Eropah musim ini.

Meskipun United memulakan kempen dengan kejayaan 4-2 ke atas Bayer Leverkusen, Moyes sedar skuad The Red Devils akan berdepan ujian getir dalam aspek karakter dan mentaliti apabila berdepan juara Ukraine itu.

"Saya rasa kami perlu turun ke sana dengan skuad terbaik. Beraksi di Ukraine selalunya sukar kerana Donetsk memiliki rekod yang hebat.

"Saya tahu mereka telah menjual seorang atau dua pemain tetapi mereka masih ada lima atau enam pemain Brazil yang pernah beraksi di beberapa negara Eropah.

"Pertandingan Eropah ini menjadi semakin sukar untuk dimenangi setiap tahun dengan beberapa pasukan berbelanja besar termasuklah Paris Saint Germain (PSG).

"Jadi, ia satu situasi yang agak sukar buat United dan saya tidak boleh memberikan jaminan yang kami akan mara ke pusingan seterusnya," kata Moyes.

Sementara itu, perancang United, Anderson mahu rakan sepasukannya bangkit daripada kekalahan kepada West Brom dengan menewaskan Donetsk.

"Kami mahu memenangi setiap perlawanan dalam semua pertandingan. Jadi, untuk melakukannya kami perlu lupakan kekalahan minggu lalu dan fokus kepada perlawanan seterusnya.

"Kami akan terus bekerja kuat di atas padang dan juga dalam sesi latihan kerana inilah yang harus dilakukan jika mahu menjadi pemain United," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan