Jumaat, 25 Oktober 2013

El Clasico dijangka lebih 'panas'


SEJAUH mana gandingan Neymar-Messi mampu menggegar akan teruji malam ini terutama dalam merobek gawang Real.


MADRID - Pertemuan El Clasico di Nou Camp malam ini bakal menjadi pengalaman pertama buat Neymar dan Gareth Bale sejak masing-masing menyertai Barcelona dan Real Madrid awal musim ini.

Barca ketika ini mendahului tiga mata ke atas Real dalam Liga Sepanyol, namun sejak kebelakangan ini, skuad kendalian Carlo Ancelotti dilihat seperti sudah menemui kembali prestasi sebenar mereka.
Barca pula gagal mengekalkan rekod kemenangan mereka buat pertama kali musim ini selepas seri 0-0 dengan Osasuna minggu lepas dan kemudian diikat 1-1 oleh AC Milan di San Siro pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Real berjaya menggunakan kelebihan itu untuk merapatkan jurang perbezaan mata dengan menewaskan Malaga 2-0 dan hampir pasti menjamin tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas mengatasi Juventus 2-1.

Berdasarkan situasi itu, pertahanan Real, Sergio Ramos percaya pertemuan kali ini lebih terbuka dan menolak sama sekali ia akan banyak dipengaruhi keputusan musim lalu.

"Sabtu ini, kami turun dalam perlawanan penting dan akan menjadi langkah utama untuk menang di Nou Camp," jelas Ramos.

"Namun, kami tahu pertemuan ini selalunya amat sukar dan semua perkara boleh berlaku.

"Apabila menilai El Clasico, kita tidak boleh hanya melihatnya berdasarkan keputusan sebelum ini ataupun perlawanan terakhir. Pertemuan ini biasanya penuh dengan intensiti dan tahap yang tertinggi.
"Ada beberapa perkara yang kami perlu terus pertingkatkan, namun yang pasti kami gembira kerana dapat turun di Nou Camp selepas mencatat kemenangan demi kemenangan baru-baru ini," ujarnya.

Real mungkin menurunkan Bale sebagai pemain gantian pada perlawanan esok dan Ancelotti juga dilihat masih mengekalkan kepercayaannya terhadap penyerang bermasalah, Karim Benzema.

Barca pula sudah pasti akan menurun- kan Neymar bersama-sama dengan Lionel Messi di jentera serangan dan penyerang Brazil itu mengakui yang dia sudah tidak lagi sabar untuk merasai suasana perte- muan El Clasico pertamanya sejak menyertai Barca, Jun lalu.

"El Clasico adalah satu perlawanan penting bagi mana-mana pemain. Ini akan menjadi perlawanan pertama saya dan saya mahu menjadikan ia penampilan yang paling hebat, kalau boleh meraih kejayaan," jelas Neymar. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan