Kuala Lumpur: Pemain Tentera ditegur lebih bersedia menghadapi ujian getir menentang Kelantan pada saingan separuh akhir Piala Malaysia pada 19 Oktober ini, sekali gus untuk menebus hampa dikecewakan lawan yang sama pada final musim lalu.

Pengendalinya B Sathianathan berkata, pertemuan ini pasti sengit kerana ia adalah ulangan perlawanan akhir musim lalu. “Kalau musim lalu kita bertemu untuk merebut kejuaraan, kali ini untuk tiket ke final.
“Ini yang menjadikan pertemuan ini sangat penting bagi kedua-dua pasukan,” kata bekas pengendali Kelantan itu yang kini berehat di luar ibu kota selepas berjaya menyingkirkan Lions XII dengan agregat 4-2 pada aksi suku akhir.


Bukan asing

Tentera akan turun berlatih mulai esok selepas pemain berehat tiga hari. Menjelang perlawanan penting itu, Gladiators akan mengadakan dua perlawanan persahabatan, antaranya menentang skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee.

Menurut Sathia, Kelantan bukan lawan asing baginya dan pemain Tentera namun dia mengingatkan anak buahnya lebih fokus apa lagi selepas The Red Warriors memperlekeh Johor Darul Takzim (JDT) dengan agregat kemenangan 8-5.

Lebih kerja rumah
“Saya terpaksa membuat kerja rumah lebih sedikit bagi memastikan Tentera layak sekali lagi ke perlawanan akhir,” kata Sathia yang dikecewakan anak buah Bojan Hodak pada final Piala Malaysia tahun lalu.

Pada aksi final di Stadium Shah Alam itu, Kelantan mendahului dua kali menerusi Norshahrul Idlan Talaha tetapi Tentera bangkit menyamakan kedudukan menerusi Rezal Zambery Yahya dan Marlon James untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Indra Putra Mahayuddin muncul wira apabila meledak gol kemenangan Kelantan pada minit ke-96.