Rabu, 30 Oktober 2013

Arsenal belum panik


OZIL (kanan) dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Arsenal menentang Chelsea di Emirates awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan bahawa tiada sebab berasa panik selepas kekalahan 0-2 kepada Chelsea pada pusingan keempat Piala Liga awal pagi semalam.

Ekoran kekalahan kedua berturut-turut di Stadium Emirates itu, Arsenal gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir yang menjadi milik Chelsea hasil jaringan Cesar Azpilicueta dan Juan Mata.

Kekalahan itu pastinya sukar ditelan oleh Wenger yang sebelum ini menyaksikan anak-anak buahnya tunduk kepada Borussia Dortmund dalam kempen Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri.

Begitupun, jika dilihat kepada rombakan besar-besaran pemain dalam skuad Arsenal dan Chelsea semalam, Wenger enggan menyalahkan barisan pemainnya atas kekalahan tersebut.

"Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Kalau kamu ambil kira mata yang kami raih sejak Januari lalu, kami menang lebih banyak berbanding pasukan lain," kata Wenger.

"Selepas kalah perlawanan pertama dengan Aston Villa, orang mula meragui keupayaan kami, namun kini kami berada di kedudukan yang kukuh dalam saingan Liga Perdana England.

"Memang benar kekalahan ini sukar sekali diterima, terutama sekali dengan apa yang terjadi sejak dua minggu terakhir.

"Namun, setiap kesilapan yang berlaku boleh diperbetulkan dan itulah apa yang akan kami lakukan," ujarnya.

Sebelum Mesut Ozil dan Olivier Giroud dimasukkan pada babak kedua, Arsenal dilihat hilang ketajaman penyudah apabila penyerang Denmark, Nicklas Bendtner gagal melaksanakan tugasnya dengan baik.

Begitupun, Wenger mempertahankan keputusannya melakukan penggiliran pemain bagi merehatkan tonggak utama menjelang pertemuan dengan Liverpool minggu ini.

"Ia satu perlawanan yang sengit dan ditentukan hasil daripada satu atau dua kesilapan. 

"Kamu tidak boleh beraksi dengan pemain yang sama dalam kesemua perlawanan, kamu perlu juga melakukan penggiliran pada satu masa," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan