Sunderland: David Moyes menegaskan, dia yakin dengan masa depan Adnan Januzaj selepas pemain tengah remaja itu meledak dua gol pada penampilan pertama di kancah Liga Perdana Inggeris untuk membantu Manchester United bangkit daripada ketinggalan dan menewaskan Sunderland 2-1 kelmarin.

Wakil Januzaj menyambung kembali rundingan untuk kontrak lebih baik bagi pemain 18 tahun itu, selepas usahanya sebelumnya terhenti berikutan persaraan Alex Ferguson di Old Trafford awal tahun ini.
Kontrak pemain yang memegang kewarganegaraan Belgium dan Albania itu tamat akhir musim ini, dengan ejennya mendakwa ada beberapa kelab besar sekitar Eropah berminat mendapatkan khidmatnya.


Jelmaan Rooney

Bagaimanapun Moyes yakin Januzaj - yang turut berpeluang mewakili England berdasarkan tempat tinggalnya - akan setia bersama kelab juara Inggeris itu untuk tempoh yang panjang.

“Saya tidak terlalu risau mengenai perkara itu (situasi kontrak) kerana setiap pemain muda mengimpikan untuk beraksi bersama Manchester United,” kata Moyes.

“Jika saya bapa kepada seorang remaja yang berpotensi bermain di peringkat ini, saya akan nampak peluang cerah untuk menyertai pasukan ini.” Januzaj meledak dua kali dalam tempoh enam minit pada babak kedua untuk melonjak kembali United dalam kelompok 10 teratas sebelum Liga Perdana berehat.
Bagi Moyes, penampilan pertama Januzaj mengingatkannya kepada Wayne Rooney sewaktu dia mengendali Everton. “Adnan mempunyai kualiti sepertinya, seorang pemain yang sangat hebat,” katanya.” - AFP