Rabu, 2 Oktober 2013

City tagih pengalaman Pellegrini



PEMAIN-PEMAIN City perlu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan Liga Juara-Juara bertemu Bayern di Stadium Etihad awal pagi esok.


LONDON - Manuel Pellegrini berdepan ujian getir pertama pada aksi Liga Juara-Juara selaku pengurus Manchester City apabila bertemu juara bertahan, Bayern Munich pada aksi Kumpulan D di Stadium Etihad awal pagi esok.

City tersingkir di peringkat kumpulan pada saingan Liga Juara-Juara sepanjang dua musim lalu dan salah satu sebab Pellegrini dipilih untuk menggantikan Roberto Mancini adalah kerana trek rekodnya di peringkat benua.

Pellegrini sekadar membawa Real Madrid ke kelompok 16 pasukan terakhir pada 2010 tetapi beliau membantu Villarreal mara ke separuh akhir pada 2006 dan Malaga ke peringkat suku akhir musim lalu.

Pada aksi menentang Bayern yang memegang status selaku juara Jerman dan Eropah, Pellegrini tidak meletakkan harapan yang besar pada aksi Eropah pertama di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman yang dikutip di Sepanyol terutamanya ketika jurulatih Bayern, Pep Guardiola membimbing Barcelona selama empat tahun, pengendali kelahiran Chile itu yakin beliau tahu bagaimana mahu menghadapi situasi tersebut.

"Sangat sukar buat masa ini kerana Bayern semakin meningkat kerana mereka memenangi tiga pertandingan terakhir tetapi dia (Guardiola) akan mencari jalan sebab dia adalah seorang pengurus yang hebat.

"Dia tahu bagaimana untuk menghadapi sesuatu perlawanan. Jadi, dia akan melakukan perkara yang berlainan tetapi kami juga mengenali Guardiola. Saya berada di Sepanyol selama sembilan tahun. Jadi, saya tahu bagaimana corak permainan yang akan ditampilkan Guardiola," kata Pellegrini.
Kedua-dua pasukan membuka tirai Kumpulan D dengan kemenangan 3-0.

Bayern menewaskan CSKA Moscow di Allianz Arena dan City meledakkan tiga gol di gelanggang lawan ketika berdepan juara Republik Czech, Viktoria Pilsen.

Bagaimanapun, City dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Aston Villa pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.

Kini, Pellegrini berharap untuk menurunkan David Silva dan Sergio Aguero selepas kedua-dua pemain itu terlepas kunjungan ke Villa Park kerana mengalami kecederaan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan