Rabu, 2 Oktober 2013

Wenger pengurus terbaik EPL - Benitez


Arsene Wenger 
 
LONDON - Pengurus Napoli, Rafael Benitez memuji Arsene Wenger yang dianggap sebagai jurulatih terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), sehari sebelum pasukannya menentang Arsenal pada saingan Liga Juara-Juara Eropah, semalam. 

Walaupun Gunners dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Aston Villa di tempat sendiri dalam aksi pembukaan liga musim ini, namun mereka bangkit mencatat lima kemenangan berturut-turut pada perlawanan berikutnya.

Kebangkitan itu membolehkan anak-anak buah Wenger mengungguli takhta liga.
Kejayaan tersebut juga turut mematahkan kritikan yang dilemparkan terhadap Wenger selama ini, ekoran kegagalan jurulatih kelahiran Perancis itu membawa Arsenal merangkul sebarang trofi dalam tempoh lapan tahun.

Bagaimanapun bagi Benitez, yang pernah membimbing Liverpool dan Chelsea, beliau tidak pernah meragui kualiti yang dimiliki Wenger sepanjang memerhatikan jurulatih itu ketika berada di England.
"Pada saya Arsenal adalah sebuah pasukan yang kuat kerana mereka memiliki Arsene Wenger, antara jurulatih terbaik Liga Perdana Inggeris. 

"Arsenal telah membawa masuk ramai pemain yang bagus. Setakat ini, mereka memulakan kempen dengan baik. Wenger seorang pengurus yang hebat tahu apa yang perlu dilakukan. 

"Saya tidak terkejut jika suatu hari nanti beliau mampu membawa Arsenal merangkul Liga Juara-Juara Eropah, tetapi bukan pada musim ini," ujar Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan