Selasa, 8 Oktober 2013

Ozil mampu julang Arsenal


LONDON - Pemain tengah Real Madrid, Sami Khedira yakin bekas rakan sepasukan, Mesut Ozil mampu menjadikan Arsenal sebagai sebuah pasukan terbaik di England.

Sama seperti para peminat dan pemain Real yang lain, Khedira tanpa berselindung mengakui kecewa selepas Ozil meninggalkan Stadium Santiago Bernabeu dengan melengkapkan yuran perpindahan sebanyak £42.5 juta (RM217 juta) ke Stadium Emritas pada 2 September lalu.

Begitupun, selepas Ozil memberikan impak yang besar kepada skuad The Gunners, Khedira yakin kehadiran pemain Jerman yang disifatkan sebagai genius dan kreatif itu mampu membantu Arsenal meraih kejuaraan pada musim ini.

"Mereka (Arsenal) adalah pasukan yang kuat tetapi Ozil menjadikan mereka pasukan paling hebat dalam England.

"Saya yakin Ozil adalah pemain yang mampu merealisasikan impian mereka dan memenangi kejuaraan pada musim ini.

"Ozil adalah seorang pemain yang cukup genius. Tidak ada cara lain untuk menggambarkan kehebatannya ketika beraksi di atas padang.

"Benar, pemain-pemain Real sangat kecewa Ozil bertindak meninggalkan Sepanyol kerana dia adalah pemain terbaik dalam posisinya.

"Namun, saya perlu menerima keputusan Ozil itu sebagai kawan dan pemain," ujarnya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan