Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) belum menetapkan jumlah tiket yang akan dijual pada aksi separuh akhir pertama antara Pahang dan Sarawak di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Walaupun berdasarkan kapasiti stadium, ia boleh memuatkan 35,000 penonton, PBNP tidak akan berbuat demikian bagi mengelakkan berlaku kebanjiran penonton ketika menyaksikan perlawanan itu.
Setiausaha PBNP Fuzeimi Ibrahim berkata, apa pun keputusan muktamad jumlah tiket akan disahkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan persatuan itu, Rabu ini.


"Setakat ini, kita memutuskan stadium hanya boleh dipenuhi 32,500 penonton iaitu mereka berada dalam keadaan selesa terutama penonton tidak duduk di atas tangga dan berdiri.

Keselamatan dipertingkat

"Apa pun, segala-galanya akan diputuskan pada mesyuarat Rabu ini dan percaya kejayaan Pahang ke separuh akhir bakal menyaksikan ribuan penyokong akan beramai-ramai memberikan sokongan.

"Setakat ini, kami sudah menerima tempahan daripada semua Persatuan Bola Sepak Daerah di Pahang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyaksikan perlawanan itu," katanya di sini, semalam.
Fuzeimi berkata, faktor kawalan keselamatan akan dipertingkatkan pada perlawanan itu kerana menjangkakan sambutan luar biasa penyokong skuad Tok Gajah itu.

Katanya, pihaknya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku seperti aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT) berulang.

"Saya percaya penyokong Pahang yang hadir akan mengekalkan disiplin dan mereka datang semata-mata untuk memastikan Pahang mencatat kemenangan," katanya. - Oleh Asrol Awang