Tokyo: Penyerang Liverpool Luis Suarez menafikan laporan yang mengatakan dia sudah memutuskan untuk kekal di Anfield.

“Saya tidak mengatakan seperti itu, mungkin ada orang lain mengatakannya... perkara utama sekarang ialah saya di sini bersama pasukan kebangsaan,” demikian penyerang Uruguay itu dipetik sebagai berkata oleh Kyodo News Jepun.
Bercakap kepada pemberita selepas membantu pasukan negaranya menewaskan Jepun 4-2 dalam perlawanan persahabatan di sini, dia menafikan dia sudah mengubah pendirian awal.


Laporan sebelum ini, menyatakan penyerang itu mencipta kejutan besar apabila kembali menyatakan kesetiaannya terhadap pasukan dan tekad untuk tidak menyertai mana-mana pasukan baru untuk terus kekal di Anfield.

Dalam satu temubual bersama sebuah media Uruguay, Suarez yang kini berada di Jepun untuk tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan menyatakan kesediaannya untuk terus beraksi bersama Liverpool.

“Buat masa sekarang, selepas melihat sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan peminat, saya akan terus kekal,” katanya yang dipetik dalam surat khabar El Observador.

Sebelum ini, Suarez bertegas dengan keputusannya untuk keluar daripada Liverpool dan enggan meminta maaf kepada pengurusan pasukan kerana enggan dan menolak tawaran pasukan lain untuk mendapatkan khidmatnya.
Perkembangan ini disahkan sendiri seorang wartawan penyiaran tempatan, Martin Chaquero menerusi laman sosial Twitternya, betapa pemain itu akan terus kekal selepas melihat sokongan peminat dan berkemungkinan akan melanjutkan kontraknya.

“Luis Suarez mengesahkan kepada saya bahawa dia tidak akan meninggalkan Liverpool. Sokongan peminat menjadi faktor mempengaruhi keputusan. Dia kini sedang melihat untuk menandatangani lanjutan kontrak untuk terus kekal lama.”
AGENSI