Jumaat, 9 Ogos 2013

Gervinho buat keputusan tinggalkan detik sukar bersama Arsenal


LONDON - Gervinho akhirnya mengakhiri detik sukarnya bersama Arsenal apabila menyertai AS Roma dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan semalam.

Penyerang kelahiran Ivory Coast berusia 26 tahun itu sekadar mencetak 11 gol sepanjang dua musim bersama The Gunners, sekali gus gagal memikat hati pengurus, Arsene Wenger.

Difahamkan, pengendali Arsenal itu tidak berfikir panjang melepaskan Gervinho dengan harga 8 juta euro (RM34.7 juta) yang ditawarkan Roma minggu lalu.

Dengan perpindahan itu, Gervinho bakal kembali menerima tunjuk ajar Rudi Garcia yang pernah bersamanya ketika mengendalikan kelab Perancis, Lille sebelum ini.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Gervinho atas sumbangannya bersama Arsenal dan mengucapkan selamat maju jaya," kata Arsenal dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum menyertai Arsenal, Gervinho mengharungi musim sensasi bersama Lille dan juga kelab Belgium, Beveren.

Ketika bersama Lille, dia berjaya membantu Lille mendakap trofi Ligue 1 dalam musim keduanya bersama kelab itu sebelum menyertai Arsenal pada 2011. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan