
CESC Fabregas melakukan tandukan yang
gagal ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat dalam aksi persahabatan di
Stadium Shah Alam, kelmarin. - Utusan/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan berjaya mengekang
asakan Barcelona selama setengah jam dalam perlawanan persahabatan di
Stadium Shah Alam kelmarin, namun tandukan Cesc Fabregas pada minit
ke-33 sedikit merencatkan cerita indah tersebut malah ada peminat bola
sepak mengatakan ia berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Khairul
Fahmi Che Mat.
Malah di laman sosial, Facebook juga perkara tersebut hangat
diperdebatkan, dengan ada yang mengutuk kelalaian Khairul Fahmi dan ada
yang mempertahankannya dengan memberi alasan ia munasabah kerana
Malaysia berdepan pasukan terbaik dunia.
Bagaimanapun, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan nama timangan
'Apek' , memberi penjelasan tentang gol pertama pasukan gergasi Eropah
itu dan dia mengakui kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri kerana
gagal menepis dengan kemas bola yang terlebih dahulu melantun ke tanah
sebelum menerjah ke dalam gawang Malaysia.
"Dalam perlawanan apa sahaja boleh berlaku termasuk kesilapan, saya
akui tidak dapat menepis bola tersebut dengan baik sehingga menyebabkan
mereka (Bacelona) memperoleh gol sulung. Saya bukan tidak cuba malah
telah mencuba untuk menepisnya dan saya berasa sedikit kecewa," katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, dia sudah memberikan persembahan sebaik mungkin namun hanya
perkataan maaf dapat diungkapkan kepada rakan-rakan sepasukan dan
seluruh rakyat Malaysia kerana melepaskan dua gol yang membolehkan
pasukan Catalan itu mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
"Secara keseluruhannya untuk perlawanan semalam (kelmarin) kami telah
buat yang terbaik, kita sudah cuba bertahan untuk tidak dibolosi namun
ada beberapa kesilapan termasuk gol pertama tersebut. Bagaimanapun kita
harus sedar bertemu dengan sebuah pasukan terbaik dunia.
"Sekurang-kurangnya kita belajar sesuatu daripada mereka. Pasukan
hebat yang lain pun sukar untuk mengalahkan mereka apatah lagi kita
pasukan yang kecil ini. Bagi saya taktikal kita menjadi, jurulatih juga
sudah memberitahu kepada kami supaya memberi persembahan terbaik," kata
penjaga gol Kelantan itu.
Selepas ketinggalan 1-0 melalui jaringan Fabregas, Malaysia berjaya
menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar petak penalti, Amri
Yahyah pada minit ke-41 namun Barcelona kembali mendahului dengan
jaringan pemain dari Brazil, Neymar dua minit kemudian.
Khairul Fahmi digantikan dengan Farizal Marlias pada separuh masa
kedua dan skuad bimbingan Gerardo Martino itu berjaya memperoleh gol
ketiga menerusi Gerard Pique pada minit ke-75.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Khairul Fahmi berkata,
semua pemain kebangsaan akan kembali ke pasukan negeri dan kelab
masing-masing untuk memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia
termasuk dirinya sendiri.
"Kami berada dalam kumpulan yang bukan mudah, tetapi kami akan cuba
sebaik mungkin untuk memastikan trofi Piala Malaysia terus kekal di bumi
Kelantan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan