KUALA LUMPUR - Hanya Radojko Avramovic dan
seorang jurulatih dari Brazil pernah menghantar permohonan kepada
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), demikian kata bekas Setiausaha
Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad.
Selain daripada itu, beliau tidak pasti jika ada permohonan baru
telah dihantar kepada Setiausaha Agung yang baru, Datuk Hamidin Mohd.
Amin, selepas dia meninggalkan badan induk bola sepak negara itu pada
penghujung Jun tahun lalu.
Jelasnya, ura-ura yang memperkatakan Radojko berminat untuk
mengendalikan Harimau Malaya memang tepat, namun segalanya kini terserah
kepada FAM dan tidak ada niat untuk campur tangan.
"Seingat saya hanya dua orang sahaja menghantar permohonan mereka
kepada saya iaitu bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic dan
seorang jurulatih dari Brazil, semasa menjadi Setiausaha Agung FAM.
"Selain daripada mereka berdua, seingat saya tidak ada lagi yang lain
termasuk Alex Miller yang dikatakan telah hantar permohonan kepada saya
dan saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana sampai masa
nanti pasti lebih ramai akan memohon," katanya ketika dihubungi,
semalam.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan kesahihan daripada
Hamidin juga menemui jalan buntu apabila beliau menafikan ada menerima
permohonan daripada Miller.
"Tidak ada setakat ini, kami belum terima apa-apa permohonan rasmi
daripada Miller setakat ini dan sedia menerima jika beliau betul-betul
berminat," ujar ringkas Hamidin ketika dihubungi.
Apa yang diperjelaskan oleh Azzuddin dan Hamidin pasti menimbulkan
sedikit kekeliruan kerana berdasarkan sumber yang bekerja rapat dengan
ejen kepada Miller, jurulatih yang berasal dari Scotland itu mengesahkan
telah menghantar permohonan secara rasmi kepada FAM.
Selain pernah bekerja sama dengan Gerard Houllier dan Rafael Benitez
selama sembilan tahun, jurulatih berumur 64 tahun itu pernah menjadi
penolong pengurus pasukan kebangsaan Scotland dari tahun 1993-1999) dan
menguruskan tiga kelab Scotland, Hibernian, Aberdeen dan St. Mirren.
Pada 8 April lalu, Utusan Malaysia berjaya mendapatkan
maklumat Radojko atau lebih dikenali sebagai Raddy berminat menjadi
jurulatih Harimau Malaya dengan menghantar permohonan ke FAM pada 2
April.
Punca utama Raddy yang dilabel sebagai jurulatih paling berjaya dalam
sejarah bola Singapura itu masih berminat untuk bertugas di Asia
Tenggara adalah kerana dia masih mempunyai anak yang bertugas di
Singapura dan selesa tinggal di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan