Selasa, 3 September 2013

United jadi bahan lawak


LONDON - Hasrat Manchester United untuk mendapatkan bintang tengah Sepanyol, Ander Herrera berakhir dengan satu sandiwara semalam, dan menyebabkan juara Liga Perdana Inggeris itu menjadi bahan lawak bola sepak dunia. 

United pada mulanya berminat untuk membeli Herrera selepas bersetuju memenuhi tuntutan 36 juta euro (RM155.88 juta) yang terdapat dalam klausa pelepasan pemain berusia 24 tahun itu daripada kontraknya di Athletic Bilbao.

Bagaimanapun perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila sekumpulan lelaki yang menjalankan urusniaga dengan Bilbao akhirnya didapati bukan pegawai rasmi dari Old Trafford, sebaliknya hanya penyamar. 

Kekecohan diakhiri dengan United akhirnya membeli bintang tengah Everton, Marouane Fellaini menerusi bayaran 27.5 juta pound (RM140.77 juta), selain mendapatkan bek kiri Real Madrid, Fabio Coentrao menerusi pinjaman jangka panjang. 

Media Sepanyol melaporkan, Bilbao hanya menyedari bahawa sekumpulan lelaki yang terlibat dalam urusniaga Herrera sebenarnya bukan wakil United apabila mereka gagal membuat bayaran deposit pemain itu. 

Terdahulu, kumpulan lelaki berkenaan telah menghabiskan masa beberapa jam di ibu pejabat pasukan di Madrid dan dibawa melawat stadium, selain membincangkan mengenai butiran perpindahan beberapa jam sebelum pasaran ditutup. 

Bilbao juga telah memaklumkan kepada Herrera bahawa United akan membayar deposit perpindahannya, dan pemain itu amat teruja dengan berita dia bakal menyertai juara Liga Perdana tersebut, sebelum sandiwara terbongkar apabila 'pegawai' berkenaan gagal membuat bayaran. 

Akhbar Britain, Starsport melaporkan, Herrera malah telah diminta untuk menjalani ujian kesihatan dan amat yakin dia berada di ambang untuk melengkapkan perpindahan impian, namun segalanya berkecai apabila United sebaliknya menandatangani Fellaini. 

Herrera dikatakan kecewa dan berang dengan apa yang berlaku, dan menuntut penjelasan daripada United serta Bilbao. 

Walaupun telah mengadakan beberapa rundingan sepanjang musim panas ini untuk membawa Fellaini ke Old Trafford, United memilih sehingga tiga jam terakhir sebelum perpindahan ditutup semalam bagi menandatangani kontrak dengan bintang tengah Belgium itu. 

Fellaini, yang mengemukakan permintaan kepada Everton untuk menyertai United menandatangani kontrak bernilai 100,000 pound (RM509,000) seminggu. 

Bagaimanapun pembelian Fellaini tidak mampu meredakan kemarahan peminat Red Devils ekoran kegagalan pasukan itu melakukan pembelian lebih besar. 

Difahamkan, United turut mengemukakan tawaran 40 juta pound (RM203.41 juta) kepada Real Madrid untuk bintang tengah Jerman, Sami Khedira tetapi ditolak oleh gergasi bola sepak Sepanyol itu.

Akhirnya, mereka hanya mampu melihat seorang lagi bintang Real yang juga rakan senegara Khedira, Mesut Ozil menjadi milik kelab London, Arsenal. 

United sebelum ini turut dikaitkan dengan Ozil, selain pemain antarabangsa Perancis, Yohan Cabaye, malah usaha mereka untuk mendapatkan Leighton Baines daripada Everton juga ditolak. 

Pengendali baharu United, David Moyes juga gagal dalam percubaannya mendapatkan dua pemain Barcelona, Cesc Fabregas dan Thiago Alcantara. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan