
Sani Anuar Kamsani giat menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Kecederaan pangkal paha yang melanda Khairul Fahmi
Che Mat dan kemerosotan prestasi Norazlan Razali bersama pasukan
Selangor nyata memberi hikmah tersendiri kepada penjaga gol Sarawak,
Sani Anuar Kamsani apabila namanya kembali dipanggil untuk menjalani
latihan bersama Harimau Malaya.
Berusia 30 tahun, Sani sebenarnya bukanlah satu nama yang asing dalam
kancah bola sepak tempatan dan pemilihannya menganggotai skuad
kebangsaan dilihat sebagai satu keputusan tepat setelah dengan apa yang
dipamerkan bersama skuad Bujang Senang sepanjang saingan Piala Malaysia
dan Liga Perdana.
Bagi jurulatih penjaga gol negara, Mohd. Faozi Mukhlas, dia melihat
kehadiran Sani akan memberikan saingan kepada pilihan utama di gawang
negara ketika ini, Farizal Marlias, selain penjaga gol Kedah, Abdul Hadi
Hamid yang turut dipanggil untuk menggantikan Khairul Fahmi.
Daripada segi saiz, dia (Sani) tidak banyak beza dengan penjaga gol
lain, namun dia ada perwatakannya yang tersendiri serta tidak boleh
dibandingkan dengan Farizal atau Khairul Fahmi.
Kita tidak boleh jadikan Sani seperti Khairul Fahmi kerana dia ada kualiti yang berbeza dengan kedua-dua pemain ini.
Saya sendiri melihat dia seorang penjaga gol yang baik ketika pernah
mewakili Harimau Muda beraksi pada kejohanan Bawah 19 tahun suatu
ketika dahulu. Kejohanan itu turut disertai Brazil, Paraguay dan Korea
Selatan.
Dia seorang penjaga gol yang pantas daripada segi refleks dan cepat
mengambil kembali posisi asal setelah menyelamatkan bola daripada
kawasan berbahaya, " katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM selepas
sesi latihan pasukan kebangsaan, semalam.
Sementara itu, Sani mengakui terkejut apabila namanya dipanggil
kerana tidak pernah terlintas dalam fikirannya mampu memecah penguasaan
tiga dominasi Khairul Fahmi, Farizal dan Norazlan.
Mungkin aksi saya bersama Sarawak dalam Piala Malaysia membuatkan
jurulatih terfikir mahu memanggil saya dan peluang ini saya akan gunakan
sebaiknya untuk mencuri hati mereka.
Semua orang ada keinginan untuk mewakili negara dan saya harap
dapat akan ada cap pertama saya bersama Harimau Malaya, dah lama saya
impikan peluang ini.
Walaupun sedar sukar bersaing dengan Farizal untuk tempat dalam
kesebelasan utama kerana dia sudah lama berbanding saya, itu bukan
alasan buat saya berasa takut, " kata bekas penjaga gol Negeri Sembilan
dan Selangor ini.
Malaysia akan bertemu China dalam aksi persahabatan, 10 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan