Selasa, 3 September 2013

Rodgers tetap puas hati


SAKHO (kiri) dan Ilori (kanan) melengkapkan perpindahan ke Liverpool semalam.


LONDON - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mengakui, gembira dengan pembelian pemain baharu yang dilakukan kelab itu meskipun gagal mendapatkan khidmat Shay Given pada saat-saat akhir semalam.

Rodgers berjaya melengkapkan pembelian dua pemain pertahanan, Tiago Ilori dan Mamadou Sakho serta seorang pemain sayap, Victor Moses.

Ilori dibeli dengan harga £7 juta (RM35.7 juta) dari Sporting Lisbon, Sakho dari Paris Saint-Germain dengan £12 juta (RM61.3 juta) dan Moses secara pinjaman daripada Chelsea.

Meskipun pembelian penjaga gol berusia 37 tahun Aston Villa, Given gagal dicapai, Rodgers masih gembira kerana memiliki Brad Jones sebagai penjaga gol simpanan kepada Simon Mignolet.

Pengurus skuad The Reds itu berjaya membawa lapan pemain senior iaitu Ilori, Sakho, Moses, pertahanan tengah, Kolo Toure, pertahanan kiri, Aly Cissokho, perancang, Luis Alberto dan penyerang, Iago Aspas.

Beliau juga berjaya menghalang penjaring terbanyak musim lepas, Luis Suarez daripada meninggalkan Anfield selepas pemain itu mendedahkan niatnya mahu berhijrah.

"Saya sangat berpuas hati. Musim perpindahan kali ini sangat produktif buat kami.

"Kami berhadapan lebih banyak persaingan dan sebagai pengurus, sudah pasti saya mahukan lebih banyak perebutan, namun kami sudah boleh bergembira dengan pembelian yang kami lakukan ini.

"Kami membawa masuk beberapa pemain baharu ke dalam skuad ini. Apa yang kami mahu pastikan selepas ini ialah sikap dahagakan kemenangan dalam diri pemain-pemain.

"Kami menjalankan urusan yang baik sepanjang musim panas ini dan kami akan mengekalkannya sehingga Januari depan. Selepas itu, kami lihat apa yang berlaku.

"Saya memberi jaminan bahawa kami akan tampil lebih kuat sekali lagi tahun ini dan mengharungi separuh kedua musim ini seperti yang ditunjukkan musim lalu," kata Rodgers. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan