
Penyerang veteran berusia 32 tahun, Amri Yahyah terus membuktikan dirinya harus menjadi contoh kepada pemain muda lain di negara ini menerusi sikap dan kesungguhannya di atas padang.
Selepas mencipta sejarah menjaringkan dua gol ketika skuad kebangsaan tewas 3-2 kepada Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2009, Amri mengulangi sentuhan magisnya itu di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Gol untuk semua
“Bagi saya tiada beza sangat jaringan tadi (semalam) dengan dua jaringan ketika bertemu United, empat tahun lalu. Gol terhasil ketika satu serangan balas dan kita berjaya menggunakan sepenuhnya peluang terhidang selepas kelekaan dua pertahanan kiri dan kanan Barcelona yang naik ke atas.
“Gol ini saya adalah untuk semua. Apa yang berlaku ini memberi satu semangat untuk pasukan terus bangkit pada perlawanan akan datang. Cuma pasukan jangan lalai dan fokus meneruskan perjuangan,” kata Amri pada sidang media selepas perlawanan.
Penyerang Selangor itu turut memuji rakan sepasukannya yang lain dengan berkata: “Untuk perlawanan ini, semua pemain memberi kerjasama tinggi dan bermain secara berpasukan. Harap semua ini diteruskan untuk baki kempen Kelayakan Piala Asia 2015.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan