Sabtu, 10 Ogos 2013

Real tidak bersedia penuhi tuntutan Spurs


MIAMI - Presiden Real Madrid, Florentino Perez mengakui dalam temu bual dengan ESPN bahawa idea untuk mengeluarkan peruntukan sekitar 100 jura euro (RM435 juta) bagi menandatangani pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale adalah sesuatu yang keterlaluan.

Bercakap kepada stesen televisyen tersebut di Amerika Syarikat, di mana Real menumbangkan Chelsea 3-1 pada perlawanan persahabatan pra-musim, kelmarin Perez tidak menafikan kelabnya sedang dalam rundingan dengan Tottenham mengenai Bale, walaupun laporan media Sepanyol mendedahkan pertemuan dengan rakan sejawat, Daniel Levy di Miami tidak berlaku.

Bagaimanapun, Perez memberi gambaran bahawa dia tidak bersedia untuk memenuhi tuntutan pengerusi Spurs itu, yang mahukan yuran perpindahan yang mencatat rekod dunia bagi menjual bintang Wales, Bale.

"Kami telah bercakap dengan ramai orang dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku dalam kesemua rundingan kami, termasuk membabitkan pemain dan juga pihak lain.

"Tetapi kami tidak sering bercakap tentang pemain lain, sebagai menghormati pemain berkenaan, kelab mereka dan juga presiden yang merupakan sahabat saya. Kami telah membina hubungan persahabatan yang baik musim lalu, sewaktu kami menandatangani Luka Modric.

"Jika saya tidak bercakap mengenai pemain, saya juga tidak akan mengulas tentang duit, (tetapi) 110 juta euro nilainya terlalu besar bagi saya," kata Perez.

Laporan, minggu lepas mendedahkan bahawa Bale semakin hampir melengkapkan perpindahan ke Santiago Bernabeu selepas tidak berada dalam skuad Tottenham ketika tumpas kepada Monaco pada perlawanan persahabatan di tempat lawan, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Levy berkata, dia bersedia untuk berunding dengan nilai yuran perpindahan sebanyak 105 juta pound (RM531 juta), sementara Real pula mahu menukar perjanjian kepada 85 juta pound (RM430 juta) beserta dengan pemain, Fabio Coentrao.

Bale menjaringkan 26 gol untuk Spurs pada musim lepas dan dinobatkan sebagai pemain terbaik oleh Persatuan Bola Sepak Profesional (PFA), pemain muda terbaik dan pemain terbaik oleh Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).

Sementara itu, Perez menambah, dia juga berharap kelab akan segera mengikat Cristiano Ronaldo - yang menyertai Madrid dari Manchester United yang mencatat rekod dunia bernilai 94 juta euro (RM409 juta) pada 2009 - dengan kontrak baru dalam tempoh beberapa minggu lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan