
AMRI (kanan) menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya ketika tewas 1-3 kepada Barcelona di Stadium Shah Alam malam tadi.
MESKIPUN beraksi tanpa kelibat bintang sensasi, Lionel Messi, aksi
Barcelona masih mampu memukau hampir 40,000 penyokong yang hadir
menyaksikan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium
Shah Alam malam tadi.
Diketuai kapten Xavier Hernandez selain barisan bintang lain
antaranya Andres Iniesta, Cesc Fabregas, Gerard Pique serta permata
baharu Neymar, Barcelona ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila
meraih kemenangan 3-1.
Biarpun tumbang, Harimau Malaya boleh menghela nafas lega kerana
tidak diratah kelab gergasi Sepanyol itu yang sebelum ini membelasah
kelab Brazil, Santos 8-0 dan skuad Bawah 23 tahun Thailand, 7-1.
Pada aksi malam tadi, skuad The Catalan terlebih dahulu menguji
kekebalan benteng pertahanan Harimau Malaya menerusi percubaan Sergio
Busquets tetapi berjaya digagalkan oleh penjaga gol No. 1 negara,
Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ke-17.
Berselang dua minit kemudian, skuad negara hampir berjaya mengejutkan
pasukan gergasi Eropah itu sebaik Norshahrul Idlan Talaha berjaya
melepasi pertahanan Barcelona yang diketuai oleh Gerard Pique tetapi
percubaan penyerang Johor Darul Takzim itu sekadar terkena tiang gol
lawan.
Barcelona akhirnya membuka jaringan menerusi Fabregas apabila bekas
pemain Arsenal itu tidak bermasalah memanfaatkan hantaran pemain
pertahanan kiri, Jordi Alba pada minit ke-33.
Bintang Selangor, Mohd. Amri Yahyah menceriakan peminat-peminat
Harimau Malaya apabila menjaringkan gol penyamaan, sekali gus menjadikan
kedudukan 1-1 pada minit ke-40.
Begitupun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila
Barcelona sekali lagi berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan
Neymar pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh
masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad The Catalan terus mengasak benteng
pertahanan skuad negara dan hasilnya mereka berjaya meledak gol ketiga
menerusi Pique pada minit ke-75.
Skuad negara yang terdesak untuk mengurangkan defisit jaringan,
gagal menjelmakan gol kedua apabila keputusan 3-1 kekal sehingga tamat
perlawanan.
Selepas menentang Barcelona, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bakal
bertemu China untuk aksi pemanas badan pada 10 September depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan