'Peluang terbaik jadi juara' Chong Wei tekad atasi Lin Dan di final kali ini
Siapa lebih hebat, Lee Chong Wei atau Lin Dan? Semuanya bakal terjawab apabila dua seteru utama itu membuat perhitungan pada aksi final Kejohanan Dunia di Gimnasium Tertutup Tianhe hari ini - pertemuan ‘klasik’ yang dinantikan seluruh peminat sukan badminton tanah air.

Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia mengesahkan slot ke final selepas menewaskan perseorangan China, Du Pengyu 20-22, 21-12, 21-15 manakala bintang sensasi China, Lin Dan membenam cabaran Nguyen Tien Minh dari Vietnam 21-17, 21-15 pada aksi separuh akhir semalam.
Atas kertas, kemenangan hampir pasti memihak kepada Lin Dan selepas merekodkan 22 kemenangan daripada 31 pertemuan dengan Chong Wei sebelum ini, tetapi jaguh perseorangan negara itu pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merealisasikan impian menjadi pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia.


“Kali terakhir saya jumpa Lin Dan adalah final Sukan Olimpik, sudah setahun lebih tidak jumpa dia tetapi tidak kisah macam mana sekalipun, saya akan akan melakukan yang terbaik. Ini adalah peluang terbaik meraih gelaran juara...saya akan berjuang mati-matian, menang kalah tidak kisah, saya akan cuba yang terbaik.

Impian saya

“Ini adalah impian saya dan harap boleh merealisasikan impian saya untuk bergelar juara, tidak kisah hari ini (semalam) saya penat macam mana, saya tetap akan tampil dengan aksi terbaik. Esok (hari ini) adalah perlawanan terakhir, saya akan psiko diri sendiri kerana tahu akan berdepan perlawanan sukar tetapi saya tetap akan berjuang hingga akhir,” kata Chong Wei ketika ditemui sejurus tamat perlawanan semalam.

Ini adalah pentas final kedua buat Chong Wei selepas sekadar bergelar naib juara pada edisi 2011 di London, tewas kepada Lin Dan.
Sementara itu, Lin Dan yang menyepikan diri selama setahun dengan tidak menyertai sebarang kejohanan selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik London tahun lalu tidak menampakkan petanda yang dia akan melepaskan peluang untuk sekali lagi meraih gelaran juara biarpun empat koleksi kejuaraan dunia sudah berada dalam genggamannya.

Dia kini dalam misi memburu status sebagai pemain perseorangan paling berjaya dalam arena badminton andai berjaya merangkul kejuaraan kelima hari ini.

“Prestasi Chong Wei selepas tamat Sukan Olimpik tahun lalu sangat bagus dan saya perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal. Saya akan bincang dengan jurulatih serta membuat analisis mengenai permainan Chong Wei untuk aksi final esok (hari ini) bagi berdepan segala kemungkinan,” kata Lin Dan.

Lin Dan yang juga bekas pemain nombor satu dunia sudah empat kali bergelar juara dunia bermula pada 2006 di Madrid, Sepanyol, 2007 Kuala Lumpur, 2009 di Hyderabad, India dan 2011 di London. Dia juga pemenang dua emas Sukan Olimpik - 2008 di Beijing dan 2012 di London.

INFO: Rekod Pertemuan

Lee Chong Wei (Malaysia) 9 Lin Dan (China) 22

11 pertemuan terakhir

Piala Thomas 2010: Lee Chong Wei kk Lin Dan 17-21, 18-21

Sukan Asia 2010: Lee Chong Wei kk Lin Dan

Terbuka Jepun 2010: Lee Chong Wei mn Lin Dan 22-20, 16-21, 21-17

Terbuka Korea 2011: Lee Chong Wei kk Lin Dan 19-21, 21-14, 16-21

Seluruh England 2011: Lee Chong Wei mn Lin Dan 21-17, 21-17

Kejohanan Dunia 2011: Lee Chong Wei kk Lin Dan 22-20, 14-21, 21-23

Terbuka Hong Kong 2011: Lee Chong Wei kk Lin Dan 16-21, 14-21

Terbuka China 2011: Lee Chong Wei kk Lin Dan 21-19, 12-21, 11-21

Terbuka Korea 2012: Lee Chong Wei mn Lin Dan 12-21, 21-18, 21-14

Seluruh England 2012: Lee Chong Wei kk Lin Dan (Chong Wei tarik diri)

Sukan Olimpik 2012: Lee Chong Wei kk Lin Dan 21-15, 10-21, 19-21