Ahad, 21 Julai 2013

Lampard miliki IQ tinggi

LONDON - Frank Lampard mengakui terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia memiliki IQ paling tinggi berbanding rakan sepasukannya di Chelsea.


Pemain antarabangsa England itu, yang menerbitkan siri buku kanak-kanak berkata, semua pemain skuad Blues telah menjalani ujian IQ, ekoran kecederaan kepala yang dialami ketua pasukan, John Terry.

"Saya rasa kepala John Terry terhantuk ketika beraksi, jadi doktor mula menjalankan ujian IQ untuk kajian terhadap kesan kecederaan terhantuk kepala ke atas pemain.

"Jadi kami pun menjalani ujian IQ dan mendapat markah yang tertinggi. Sukar untuk percaya, saya berjaya melakukannya, saya benar-benar terkejut!," kata Lampard dalam temu bual sebuah program televisten ITV, This Morning.

Lampard baru-baru ini menandatangani penyambungan kontrak di Stamford Bridge, akan beraksi di bawah pengurus, Jose Mourinho yang kembali menjadi pengendali Chelsea.

Lampard juga dikatakan memiliki IQ lebih tinggi berbanding personaliti televisyen popular Britain, Carol Vorderman. 

Volderman yang merupakan bekas penyampai program televisyen, Countdown terkenal dengan kehandalannya dalam matematik yang mana dia memiliki markah IQ sebanyak 154, sementara jumlah purata peringkat kebangsaan adalah 100 mata.

Lampard mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah awam iaitu Sekolah Brentwood, Essex yang mana pemain itu memperoleh keputusan cemerlang dalam ujian GCSE termasuk mencatat keputusan A dalam Latin, sebelum dia bergelar pemain bola sepak profesional bersama kelab pertamanya, West Ham.

Pemain berusia 35 tahun itu, yang mendapat jolokan The Professor daripada rakan sepasukannya di Stamford Bridge menjalani ujian yang dikendalikan oleh doktor kelab, Dr. Brian English.

"Terry berada dalam senarai tiga teratas, tetapi markah yang dicatat Lampard adalah yang tertinggi pernah direkodkan oleh kelab sepanjang ujian dibuat ke atas pemain, malah lebih tinggi daripada saya sendiri," kata Dr. English.

Bagaimanapun, Dr. English enggan mendedahkan markah yang berjaya diperoleh Lampard, tetapi laporan akhbar yang memetik sumber mendakwa pemain tersebut mencatat lebih 150 mata dalam skala IQ iaitu meletakkannya dalam kategori individu bijak pandai yang hanya 0.1 peratus daripada bilangan penduduk. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan