Rabu, 31 Julai 2013

Apa nasib Rajagobal?


RAJAGOBAL (kiri) berdepan tekanan khususnya daripada pemerhati dan peminat bola sepak tempatan.


SPEKULASI tentang masa depan Datuk K. Rajagobal, sama ada beliau akan terus membimbing skuad Harimau Malaya atau sebaliknya bakal diketahui hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membuat keputusan mengenai masa depan ‘Raja Eksperimen’ itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Biarpun ramai menjangkakan bahawa Rajagobal akan terus membimbing Harimau Malaya, namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika pengendali berusia 57 tahun itu diarah meletak jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Prestasi buruk skuad Harimau Malaya sejak kebelakangan ini menjadi antara punca isu pemecatan Rajagobal mula timbul dan dibangkitkan oleh pengkritik, pemerhati mahu pun peminat bola sepak tempatan.

Semalam, anak-anak buah Rajagobal seakan-akan sengaja mahu menampah ‘bala’ apabila diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy.

Sebelum itu, Harimau Malaya tewas kepada dua kelab Divisyen Satu Liga Jepun iaitu Shonan Bellmare (0-5) dan Shimizu S Pulse (0-2).

Ketika diminta reaksi berhubung kekalahan ketiga Harimau Malaya di bumi Jepun semalam, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata: “Saya tak mahu komen. Tunggu sahaja kejutan esok (hari ini).”

Sejak beberapa bulan lalu, kalangan pemerhati dan peminat Harimau Malaya sudah hilang sabar dengan prestasi merudum Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat atau berundur secara terhormat.

Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan - satu rekod yang cukup memalukan.

Dua kemenangan itu direkodkan ketika Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu dan menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada aksi persahabatan bulan lalu.

Pada masa sama, Rajagobal turut dikecam hebat selepas skuad Harimau Malaya gagal memperbaiki kedudukan lebih baik dalam ranking dunia apabila kini menghuni tangga ke-159.

Harimau Malaya dijangka tiba ke ibu negara hari ini selepas ‘berguru’ hampir dua minggu di Jepun sebelum mereka dijadual menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil 10 Ogos depan.

Selepas menentang The Catalan, anak-anak buah Rajagobal bertemu China dalam satu lagi aksi persahabatan pada 10 September sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan