Selasa, 30 Julai 2013

Azmi galas tanggungjawab Fandi



AZMI (kiri) memulakan sesi latihan bersama skuad Johor DT di Stadium UTM, Skudai, Johor Bahru malam tadi.


BELUM sampai sebulan nama Cesar Ferrando Jiminez disebut-sebut menjadi ketua jurulatih baharu Johor Darul Takzim (Johor DT) bagi saingan musim depan, skuad Harimau Selatan sekali lagi menerima kejutan.

Kali ini, jurulatih kelahiran Singapura, Fandi Ahmad (gambar kecil) dilapor tidak lagi menjadi 'pilihan' Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membimbing Johor DT.

Sebaliknya, PBNJ memberi kepercayaan kepada anak tempatan yang juga jurulatih Johor, Azmi Mohamed bagi meneruskan tugas Fandi pada Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini.

Bagaimanapun, Fandi dilapor masih kekal menjawat jawatan sebagai pengurus skuad Harimau Selatan itu.

Terdahulu, timbul spekulasi di beberapa media sosial yang mengatakan PBNJ telah memecat Fandi sebagai ketua jurulatih Johor DT.

Khabar angin itu bagaikan benar apabila Azmi memberitahu bahawa beliau telah menerima surat rasmi untuk menggantikan Fandi buat sementara.

Menurut Azmi, beliau menerima surat lantikan tersebut kira-kira pukul 1 petang kelmarin dengan arahan jelas untuk melatih Johor DT bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Saya tidak tahu mengenai Fandi tetapi saya sudah menerima surat rasmi untuk melatih Johor DT berkuat kuasa serta merta semalam (kelmarin)," kata Azmi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Difahamkan, kegagalan Johor DT menjuarai Piala FA dan Liga Super musim ini meskipun mempunyai barisan pemain bintang termasuk beberapa pemain kebangsaan, menjadi antara faktor Fandi 'digugurkan' daripada membimbing pasukan itu.

Mengulas lanjut tugasnya sebagai jurulatih baharu Johor DT, Azmi mengakui ia bukanlah satu tugas mudah.

Namun menurut Azmi, dia tetap akan berusaha untuk merealisasikan impian Johor DT meraih satu daripada tiga piala musim ini.

"Memang ini tugas yang cukup mencabar tetapi saya akan cuba lakukan sesuatu yang terbaik untuk cita-cita menjuarai Piala Malaysia. Apa yang penting, saya harap semua pemain dapat memberi kerjasama

"Ini merupakan peluang terakhir untuk Johor DT menjulang salah satu piala musim ini selepas gagal menjuarai Piala FA dan Liga Super," katanya.

Azmi memulakan tugasnya dengan mengendalikan sesi latihan Johor DT di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru malam tadi manakala Fandi pula hanya dilihat berada di tempat duduk penonton.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan