Isnin, 22 Julai 2013

Peluang dakap gelaran dunia


CHONG WEI memburu gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China bulan depan.


KEJOHANAN Badminton Dunia 2013 di Guangzhou, China yang bakal bermula 5 Ogos depan merupakan peluang terbaik buat jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran pertamanya dalam pertandingan berprestij itu.

Chong Wei bukan sahaja bebas daripada masalah kecederaan, malah dia turut mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika mengikuti latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Kiara sejak dua minggu lalu.

Melihat prestasi pemain No. 1 dunia itu, jurulatihnya, Tey Seu Bock yakin program yang akan diatur di Hong Kong penghujung minggu ini akan menjadikan Chong Wei lebih bersedia bagi menghadapi gelora di Guangzhou.

“Tinggal lagi 15 hari sebelum Kejohanan Dunia bermula dan sejak latihan dua minggu lalu, saya mendapati semua program teratur dan berjalan dengan lancar.

“Kami akan memasuki latihan fasa kedua minggu ini iaitu keseimbangan dari segi fizikal dan dalam gelanggang. 

“Tumpuan sepenuhnya akan diberikan sebaik sahaja kami berlatih di Hong Kong nanti sebelum ke Guangzhou.

“Apabila sudah masuk fasa ketiga di Hong Kong, latihan sepenuhnya akan dilakukan dalam gelanggang dan tumpuan akan diberikan kepada taktikal,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Seu Bock, latihan yang diikuti Chong Wei selain dua lagi pemain perseorangan negara – Liew Daren dan Chong Wei Feng – telah dirancang dengan rapi.

“Ini merupakan latihan paling keras selepas persiapan Chong Wei bagi menghadapi Sukan Olimpik tahun lalu. Walaupun keras tetapi Chong Wei, Daren dan Wei Feng telah melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

“Mereka seperti mahu membuktikan yang mereka mampu mencatatkan sesuatu yang berharga di Guangzhou nanti,” tambah Seu Bock.

Seu Bock turut mengesahkan bahawa Chong Wei mampu mengekalkan kecergasan sehingga Kejohanan Dunia.

Chong Wei pernah dikejutkan dengan masalah kecederaan di bahagian bahu kanan ketika beraksi dalam final Seluruh England 2012 pada 12 Mac tahun lalu.

Dua bulan kemudian, dia terus ditimpa malang apabila mengalami kecederaan buku lali kanan ketika beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas 2012.

Situasi tidak diduga itu hadir tatkala Chong Wei dalam proses persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London.

“Bagi saya kecederaan hanyalah nasib malang dan kami tidak meminta nasib itu dan sebagai pemain, soal kecederaan tidak boleh terlalu dirisaukan.

“Setakat ini, Chong Wei dapat mengikuti latihan fasa pertama dengan baik. Latihan seterusnya mungkin tidak akan menjadi masalah kepadanya,” jelas Seu Bock.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan