Sabtu, 20 Julai 2013

Moyes suntik semangat Welbeck



WELBECK (kiri) mendapat kepercayaan Moyes untuk mengemudi jentera serangan United musim depan.


SYDNEY - Pengurus Manchester United, David Moyes mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan Danny Welbeck bagi menaikkan semula semangat dan keyakinan penyerang England itu.

Welbeck sekadar meledak dua gol buat United pada musim lepas dan dilihat seperti hilang sentuhan penyudah di depan pintu gol ketika skuad The Red Devils tumpas 0-1 kepada Shinga All Star X11 di Bangkok, Thailand pada aksi pra-musim Jelajah Asia hujung minggu lalu.

Moyes berkata, beliau berbincang dengan Welbeck di Sydney pada awal minggu ini bagi mendedahkan keyakinannya terhadap pemain tersebut.

"Ketika saya tiba di kelab ini, saya telah diberitahu Welbeck merupakan pemain yang penting untuk masa hadapan United.

"Kami sedang memberinya peluang dan dia akan mendapat banyak peluang untuk beraksi. Kami harap, dia akan mula menjaringkan gol.

"Dia memperoleh beberapa peluang pada malam itu (di Thailand) tetapi situasi menjadi lebih teruk kalau dia langsung tidak mempunyai peluang.

"Saya harap, dia akan menggunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin dan ia mampu menyuntik semula keyakinan yang diperlukannya untuk menyumbang gol," jelas Moyes dalam sidang satu akhbar di Sydney, Australia semalam.

Welbeck dianggap sebagai antara bintang sensasi United ketika di bawah era bekas pengurus, Alex Ferguson musim lepas dan pemain itu juga baharu saja menyambung kontraknya yang bernilai £90,000 (RM439,012) seminggu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan