Isnin, 29 Julai 2013

Dortmund tebus kecewa



PEMAIN-PEMAIN Dortmund meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Super Jerman selepas menewaskan Bayern 4-2 di Westfalenstadion awal pagi semalam.


DORTMUND - Borussia Dortmund menewaskan Bayern Munich 4-2 untuk menjulang trofi Piala Super Jerman awal pagi semalam.

Kekalahan di Westfalenstadion itu merupakan yang pertama buat Pep Guardiola sejak membimbing juara Eropah itu.

Marco Reus muncul wira pasukan tuan rumah apabila meledak dua gol seawal minit keenam dan 86, manakala dua lagi gol Dortmund dicetak oleh Ilkay Gundogan (57) dan gol sendiri pemain Bayern, Daniel van Buyten pada minit ke-56.

Kedua-dua gol saguhati Bayern pula diperoleh menerusi Arjen Robben pada minit ke-54 dan 64.

Kekalahan itu juga mencalar rekod bersih Bayern yang melakar kemenangan dalam kesemua sembilan aksi persahabatan di bawah kendalian Guardiola.

"Saya tidak menganggap Dortmund lebih hebat daripada kami semata-mata kerana kemenangan ini.
"Inilah lumrah dalam bola sepak dan apa jua kemungkinan boleh berlaku termasuk kekalahan," kata Guardiola.

Guardiola yang mengambil alih tugas Jupp Heynckes yang bersara berkata, anak-anak buahnya perlu segera melupakan kekalahan tersebut.

"Kami beraksi dengan baik, namun nasib tidak menyebelahi kami.

"Berdepan dengan pasukan yang kuat seperti Dortmund sememangnya bukan mudah tetapi saya tetap berbangga dengan persembahan anak-anak buah saya.

"Ia pengajaran yang berguna buat kami dan sejujurnya, saya tetap gembira dengan persembahan kami dalam perlawanan itu," kata Guardiola.

Dalam pada itu, rakan sejawatan Guardiola, Juergen Klopp gembira dengan keputusan yang dianggap bakal menyuntik semangat Dortmund kembali merampas trofi Liga Jerman daripada Bayern musim depan.

"Kami berjaya mempamerkan aksi sebenar dan kemenangan ini benar-benar menakjubkan," kata Klopp.

Sementara itu, kapten Bayern, Philipp Lahm jelas kecewa dengan kekalahan itu.
"Kami mahu menang, namun segala-galanya serba tidak menjadi," katanya. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan