Jumaat, 19 Julai 2013

Wenger dapat suntikan dana tambahan sunting Suarez

JIKA di Vietnam, Wenger (kanan) mendapat sambutan hangat tetapi di England pula beliau mendapat lampu hijau daripada pemilik Arsenal untuk terus membida Suarez.


LONDON - Arsene Wenger telah diberi lampu hijau untuk membuat tawaran akhir berjumlah £40 juta (RM194.8 juta) ke atas Luis Suarez.

Penyerang Liverpool itu berada dalam senarai No. 1 Arsenal untuk dibeli musim panas ini dan tawaran awal kelab London itu berjumlah £30 juta (RM146.2 juta) telah pun ditolak.

Media England kemudian melaporkan bahawa The Gunners mengemukakan tawaran kedua berjumlah £35 juta (RM170.5 juta), namun ia masih belum cukup memuaskan hati pegawai-pegawai kelab Merseyside itu untuk melepaskan Suarez.

Kini tawaran ketiga Arsenal berjumlah £40 juta (RM194.9 juta) mungkin bakal mengaktifkan klausa tebus kontrak Suarez, sekali gus menjadi penentu kepada peluangnya untuk meninggalkan Anfield musim ini.

Ejen Suarez, Pere Guardiola menjelaskan jumlah tersebut bakal memaksa Liverpool mempertimbangkan tawaran Arsenal itu.

Harga berkenaan juga adalah yang paling tinggi pernah dipersetujui oleh pegawai atasan The Gunners dalam usaha mereka membawa seorang daripada tiga pemain berprofil tinggi.

Selain Suarez, Wenger turut berminat mendapatkan khidmat Gonzalo Higuain dan Wayne Rooney.
Pengurus The Reds, Brendan Rodgers percaya Suarez seharusnya berhutang budi dengan rakan sepasukannya dan juga peminat kelab ini dengan terus kekal di Anfield.

"Ia bukan mengenai saya atau pun kelab ini, saya rasa ia mengenai rakan sepasukannya dan juga peminat yang telah banyak menyokongnya.

"Mereka tetap setia di belakangnya ketika dia mengharungi masa yang sukar dan juga segala trauma sejak beberapa musim lalu.

"Kalau ada pun pihak yang perlu dia membayar budi tersebut ialah penyokong dan rakan sepasukannya. Ia bukan tentang saya," jelas Rodgers. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan