Isnin, 29 Julai 2013

Levy 'kunci mulut'



BALE akan kekal dengan Tottenham musim depan meskipun mendapat tawaran lumayan daripada Real.


LONDON - Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy bertindak 'mengunci mulut' berhubung tawaran rekod dunia yang dikemukakan Real Madrid bagi mendapatkan Gareth Bale.

Levy, 51, memberi kata putus bahawa tiada lagi perbincangan berkaitan pemain antarabangsa Wales itu.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan menjual Bale pada musim panas ini walaupun Real menawarkan bidaan yang berlipat kali ganda.

Meskipun sebelum ini Bale semakin hampir untuk berpindah ke Real, Levy berkeras menolak tawaran lumayan Real bernilai £51 juta (RM253.4 juta) ditambah dengan dua bintang mereka, Angel Di Maria dan Fabio Coentrao, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan £95 juta (RM471.9 juta).

Minggu lalu, akhbar-akhbar tempatan kembali meniupkan spekulasi mengenai hasrat Real untuk menjadikan Bale sebagai pemain terbaharu skuad The Galactico.

Namun, Levi pantas menafikan hasrat Real tersebut dan Spurs juga turut membuat satu pembelian besar dengan membawa masuk bintang Valencia, Roberto Soldado dengan nilai £26 juta (RM129.1 juta).

Sementara itu, satu sumber daripada Real mendakwa Bale merupakan sasaran utama kelab itu.
"Bale merupakan pilihan utama. Kami akan berusaha mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Kami berharap proses bidaan terhadap Bale akan berjalan lancar," menurut sumber itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan