Rabu, 24 Julai 2013

'Saya terkejut dipilih bimbing Barca'


ROSARIO, Argentina - Gerardo Martino menganggap pemilihannya selaku jurulatih baharu Barcelona telah dibantu oleh bintang juara Liga Sepanyol itu, Lionel Messi.

"Saya tidak tahu secara terperinci apa yang diperkatakan oleh Jorge (bapa Messi) serta Lionel bagi mempengaruhi pemilihan saya (sebagai jurulatih), tetapi saya yakin mereka ada terlibat dengan pemilihan ini.

"Saya sangat pasti mereka ada memberi sokongan kepada lembaga pengarah kelab Barcelona untuk memilih saya," kata Martino yang berasal dari bandar yang sama dengan Messi iaitu Rosario di Argentina.

Pemilihan Martino sebagai pengendali baharu Barcelona ternyata mengejutkan ramai pihak kerana beliau kurang dikenali, baik ketika bergelar sebagai pemain mahu pun jurulatih. 

Bulan lalu, nama Martino tiba-tiba muncul apabila beliau berjaya membantu kelab Argentina, Newell's Old Boys muncul juara Piala Argentina.

"Sejujurnya, jika saya tidak dibantu oleh sesiapa, saya pasti tidak berpeluang mendapat jawatan ini.
"Saya sangat terkejut dan saya juga tidak menyangka terpilih membimbing sebuah kelab terbaik di dunia," kata Martino pada sidang akhbar khas semalam.

Martino meninggalkan Newell's Old Boys dua minggu lalu selepas skuad kendaliannya tersingkir pada saingan separuh akhir Piala Libertadores.

Barcelona yang terdesak untuk mencari jurulatih baharu selepas Tito Vilanova terpaksa melepaskan jawatannya kerana perlu membuat rawatan lanjut terhadap kanser tekaknya.

"Tugasan ini sangat penting dan berat. Ia hadir dalam keadaan tergesa-gesa selepas jurulatih (Vilanova) terpaksa menerima rawatan susulan.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada saya dan juga staf-staf kejurulatihan saya bagi membawa Barcelona ke satu tahap lebih tinggi," kata Martino.

Martino yang dijangka tiba di Barcelona hari ini berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak bagi meneruskan legasi kelab terbaik di dunia itu. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan