Isnin, 22 Julai 2013

Moyes lancar 'perang dingin'


MOYES pantang diganggu.


SYDNEY - Pengurus baharu Manchester United, David Moyes bersedia melancarkan perang dingin dengan pengendali Chelsea, Jose Mourinho selepas The Special One itu menyatakan minat kepada penyerang United, Wayne Rooney.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa Mourinho bersedia menawarkan bidaan sekitar £40 juta (RM195.1 juta) untuk membawa Rooney ke Stamford Bridge namun juara Liga Perdana England itu menegaskan bahawa Rooney bukan untuk dijual.

Dalam pada itu, Moyes memenangi aksi pertamanya selaku pengurus baharu United sejak menggantikan Alex Ferguson selepas menewaskan pasukan Australian A-League All Stars di sini kelmarin.

Menurut Moyes, misi utama dalam siri jelajah pra-musim Asia itu bukanlah mencatat kemenangan tetapi mencari keserasian dalam pasukan sebelum sepak mula liga bermula Ogos depan.

Dalam sidang akhbar selepas aksi tersebut, Moyes kekal mengunci mulut berhubung situasi terkini Rooney serta hasrat kelab itu memancing arkitek Sepanyol serta Barcelona, Cesc Fabregas.
"Saya masih tiada berita terbaharu sejak kali terakhir kita bercakap sebelum ini (Jumaat).

"Saya juga sebenarnya tiada apa-apa untuk diceritakan mengenai situasi terkini sama ada positif atau negatif," kata Moyes.

Sementara itu, media Scotland turut menggesa Moyes menjelaskan mengenai hasratnya melancarkan perang psikologi dengan Mourinho.

"Loghat anda sama seperti saya dan saya pasti anda dari Glasgow. Tetapi, jika anda dari Glasgow, anda pasti suka mendengar perkara seperti ini," kata Moyes.

Sementara itu, media Britain pula melaporkan United bersedia meningkatkan tawaran untuk membawa bekas kapten Arsenal, Fabregas ke Old Trafford.

Sebelum ini, Moyes ada mengesahkan bahawa bersedia membida £26 juta (RM126.8 juta) bagi membawa pemain tengah Barcelona yang sentiasa memanaskan bangku simpanan musim lalu itu.
Esok, United dijadual bertemu kelab Jepun, Yokohama F. Marinos dalam rangka jelajah ke negara Matahari Terbit itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan